6,039 saman, 143 motosikal disita sepanjang Op Khas JPJ Perak

IPOH - Sebanyak 6,039 notis saman dikeluarkan manakala 143 motosikal disita sepanjang Op Khas Motosikal sempena Tahun Baharu Cina 2025 yang dijalankan bermula 20 Januari lalu.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak, Mohammad Yusoff Abustan berkata, tindakan itu diambil hasil pemeriksaan terhadap 24,494 motosikal membabitkan pelbagai kesalahan termasuk tiada lesen memandu dan kenderaan tiada perlindungan insurans.

"Dalam operasi ini, kesalahan paling tinggi dikesan adalah tiada lesen memandu dan lesen tamat tempoh sebanyak 1,934 notis.
"Fokus diberikan kepada motosikal yang terlibat dalam kesalahan lalu lintas, lumba haram dan pengubahsuaian ekstrem," katanya dalam sidang akhbar sempena Op Khas Tahun Baharu Cina di sini pada Sabtu.

Bagaimanapun, beliau berkata, statistik menunjukkan penurunan 20 peratus berbanding tahun lalu yang merekodkan 7,383 notis dengan 576 motosikal disita.
"Ini membuktikan tahap kesedaran dalam kalangan pengguna dan pemilik motosikal semakin baik.
"Tindakan penguatkuasaan seumpama ini perlu lebih kerap memandangkan rekod kemalangan maut melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal adalah paling tinggi iaitu 60 hingga 75 peratus berbanding pengguna kenderaan lain," katanya.
Sementara itu, Mohammad Yusoff berkata, dalam tempoh sama, sebanyak 12 kesalahan dikesan melalui operasi penyamaran dan pemeriksaan bas di empat terminal bas utama seluruh negeri ini.
Katanya, antara kesalahan tersebut adalah tidak mengikut lorong betul, memotong di garisan berkembar, merokok ketika memandu dan menggunakan telefon bimbit.
"Kesalahan lain dikesan termasuklah tiada lesen memandu kompeten (CDL) dan Vokasional Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) serta tidak mengikut kelas Kenderaan Perkhidmatan Awam (KPA) iaitu bas persiaran dijadikan bas ekspres," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

