Wanita hamil 35 minggu maut kereta terbabas

KLUANG - Seorang wanita hamil bersama anak dalam kandungan berusia 35 minggu maut selepas kereta yang dipandunya dipercayai terbabas lalu melanggar pagar rumah di tepi jalan di Kampung Melayu di sini pada Sabtu.
Menurut Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh, mangsa iaitu Siti Aisyah Harun, 32, dikatakan dalam perjalanan dari Kampung Melayu menghala ke arah bandar Kluang bersama seorang penumpang, Siti Aishah Rahimi yang berusia 28 tahun.
"Pada Ahad, pihak polis menerima laporan daripada adik mangsa berhubung kejadian yang berlaku pada Sabtu lebih kurang jam 2.15 petang di Lorong Mohd Salim 1, Kg Melayu, di sini dan memandu kereta jenis Perodua Myvi.
"Kenderaan dinaiki mangsa dikatakan terbabas sendiri dan melanggar tembok pagar rumah di tepi jalan. Mangsa bersama penumpang kemudiannya dibawa ke Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom Kluang menaiki ambulans," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan, kira-kira jam 8 malam pada hari kejadian, anak dalam kandungan wanita berkenaan terpaksa dikeluarkan menerusi pembedahan kerana sudah meninggal di dalam perut.
Tambah beliau, pemandu wanita itu yang mengalami kecederaan dalaman pada bahagian perut dan dada dilaporkan sudah meninggal pada Ahad, kira-kira jam 1.59 tengah hari.
"Mangsa yang ketika itu masih dalam rawatan telah meninggal dunia akibat pendarahan dalaman di abdominal dan kecederaan di pankreas serta hati.
"Bagi penumpang pula hanya mengalami kecederaan ringan di lengan kiri dan dahi kanan serta menerima rawatan sebagai pesakit luar. Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

