Kanak-kanak perempuan maut, kereta dipandu bapa terbabas ke gaung

Lelaki dipercayai bapa mangsa memangku kanak-kanak tersebut yang disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. Foto ihsan PDRM
Lelaki dipercayai bapa mangsa memangku kanak-kanak tersebut yang disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. Foto ihsan PDRM
A
A
A

RAUB - Seorang kanak-kanak perempuan maut selepas kereta dipandu bapanya dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke dalam gaung di jalan lama Raub-Bentong dekat jambatan besi pertama Tras di sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Raub, Superintenden Mohd Shahril Abdul Rahman berkata, dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, mangsa berusia lima tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kereta jenis Honda Accord yang dipandu bapa mangsa iaitu buruh ladang durian dalam perjalanan dari arah Tranum menuju ke Raub.

Kereta Honda Accord yang dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke dalam gaung di jalan lama Raub-Bentong pada Selasa. Foto ihsan PDRM
Kereta Honda Accord yang dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke dalam gaung di jalan lama Raub-Bentong pada Selasa. Foto ihsan PDRM

"Apabila sampai di tempat kejadian, kereta terbabit dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke dalam gaung.

"Akibat kemalangan tersebut, pemandu berusia 30 tahun masih sedar dan telah membawa naik penumpang hadapan, seorang kanak-kanak perempuan iaitu anaknya sendiri yang tidak sedarkan diri," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Ujarnya, pembantu perubatan Hospital Raub yang tiba seterusnya mengesahkan kanak-kanak itu meninggal dunia di lokasi kemalangan.

Jelasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!