Syarikat kuari patuhi SOP, sedia bantu baiki rumah terjejas

ALOR SETAR - Pemecahan bongkah batu dan letupan kuat luar biasa dari kawasan kuari di Kampung Padang, mukim Sungai Kecil Hilir, Bandar Baharu didapati mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG).
Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, hasil pemeriksaan dan siasatan dijalankan, tahap bunyi dan gegaran di tapak kuari berkenaan mematuhi had ditetapkan.
Menurutnya, semakan JAS Kedah terhadap rekod letupan kuari melibatkan parameter Peak Sound Pressure Level (PSPL) serta Peak Vector Sum bagi mengukur tahap bunyi dan gegaran yang didengar penduduk berdekatan.
“Siasatan JAS Kedah pada Sabtu melibatkan pemeriksaan di kuari, sekitar kuari serta rumah penduduk terlibat.
“Pengukuran bunyi dan getaran telah dilaksanakan di lokasi rumah pengadu sebagai stesen pemantauan yang terletak kira-kira 650 meter dari kawasan letupan semasa aktiviti letupan dijalankan oleh pengusaha kuari,” katanya dalam kenyataan akhbar di sini pada Ahad.
Sharifah Zakiah berkata, hasil perbincangan antara JAS Kedah dengan syarikat kuari, keputusan dicapai untuk pengusaha kuari menanggung kos membaiki kerosakan rumah penduduk.
“Pada dasarnya syarikat kuari mematuhi zon penampan di mana jarak rumah ke kuari sekitar 650 meter (lebih 500 meter) dan mematuhi had bunyi dan gegaran ditetapkan JMG, namun impak sebenar yang berlaku kepada perumahan penduduk tidak wajar diabaikan,” ujarnya.

Menurutnya, JAS Kedah akan terus memantau lebih kerap operasi kuari dan akan berbincang dengan lain-lain agensi terutama JMG dengan mengesyorkan langkah-langkah pembaikan yang perlu diambil syarikat kuari bagi mengelakkan kejadian berulang.
“Notis Arahan di bawah Seksyen 37 (1) (d) dikeluarkan kepada pemaju untuk mengemukakan laporan peletupan dan kawalan peletupan yang dilaksanakan di tapak.
“Pemaju diarahkan untuk sentiasa mematuhi semua syarat ditetapkan oleh pihak berkuasa dan melaporkan sebarang insiden yang berlaku khususnya melibatkan konflik dan kacau ganggu kepada penduduk,” ujarnya.
Pada Jumaat, Presiden Sahabat Alam Malaysia (SAM), Meenakshi Raman meminta kerajaan negeri Kedah dan pihak berkuasa memantau dan menjalankan siasatan berhubung kejadian letupan kuat luar biasa di Kampung Padang, yang didakwa berlaku pada Rabu.
Letupan kuat sekitar 2.15 petang itu mengejutkan sebahagian besar penduduk selain menyebabkan kerosakan kepada rumah penduduk berhampiran dipercayai berpunca daripada aktiviti pemecahan bongkah batu oleh pengusaha kuari terbabit.
Sharifah Zakiah memaklumkan, susulan itu JAS Kedah telah menggerakkan pasukan siasatan ke kuari dan rumah penduduk berdekatan pada Sabtu.
“JAS Kedah mengetahui insiden tersebut melalui pihak media yang meminta maklum balas berkaitan kejadian. Tiada sebarang aduan dibuat oleh mana-mana pihak berkaitan insiden tersebut melalui mana-mana saluran aduan kepada JAS mahupun JMG.
“Kelewatan aduan kepada JAS boleh menyukarkan siasatan kerana bahan bukti mungkin telah terjejas.
“Semakan dengan pihak polis mendapati pengadu membuat laporan polis pada Khamis susulan kerosakan rumah yang didakwa berpunca daripada aktiviti letupan kuari tersebut,” katanya.
Jelasnya lagi, JAS Kedah akan sentiasa bekerjasama dengan agensi-agensi lain dalam menangani sebarang isu berkaitan operasi kuari.
“Semua projek yang tertakluk bawah Perintah EIA dilawati sebanyak empat kali setahun oleh unit penguat kuasa EIA, JAS Kedah. Rondaan secara berkala turut dijalankan oleh JAS cawangan Kulim.
“Walaupun berdepan kekangan kakitangan untuk memantau projek serta lain-lain aktiviti di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, JAS Kedah tetap komited bagi memastikan pematuhan terhadap akta tersebut,” katanya.
Sebarang aduan boleh disampaikan terus kepada JAS melalui talian bebas tol 1-800-88-2727 dan sistem e-aduan JAS, iaitu eaduan.doe.gov.my.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

