Pempengaruh perlu akur undang-undang negara luar

SHAH ALAM - Pempengaruh media sosial dari Malaysia boleh dikenakan tindakan undang-undang di Indonesia selepas didakwa terbabit dalam kandungan palsu media sosial di Bandung, baru-baru ini.
Menurut Peguam, Mahmud Jumaat, walaupun individu terbabit adalah warga Malaysia, dia tetap tertakluk kepada undang-undang Indonesia sekiranya melakukan kesalahan di negara berkenaan.
"Di Indonesia, penyebaran berita palsu dikawal di bawah Undang-Undang Nomor 11 Tahun 2008 Informasi dan Transaksi Elektronik (UU ITE).
"Ia sudah dipinda menerusi Undang-Undang Nomor 19 Tahun 2016 Pasal 35 UU ITE memperuntukkan hukuman terhadap sesiapa yang dengan sengaja dan tanpa hak melakukan manipulasi maklumat elektronik sehingga dianggap sebagai data sah," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Katanya, prinsip ekstrateritorial termaktub dalam Pasal 2 UU ITE membolehkan undang-undang Indonesia dikuatkuasakan terhadap mana-mana individu termasuk warga asing.
"Undang-undang ini tidak hanya terhad kepada warga Indonesia tetapi juga warga asing yang melakukan perbuatan menyalahi peruntukan undang-undang.
"Perkara ini harus menjadi peringatan kepada semua pengguna media sosial untuk lebih berhati-hati dalam menghasilkan dan menyebarkan kandungan," tambahnya.
Menurutnya, penyebaran maklumat palsu di negara ini juga menjadi kesalahan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang melarang penggunaan perkhidmatan rangkaian secara tidak wajar bagi tujuan mengganggu atau menipu orang lain.
"Selain itu, bermula 1 Januari lalu, platform media sosial dengan lebih daripada lapan juta pengguna diwajibkan mendapatkan lesen operasi bagi menangani jenayah siber, termasuk penyebaran berita palsu.
"Seharusnya, mana-mana pengguna media sosial perlu lebih berhati-hati dalam setiap kandungan dikongsi supaya tidak melanggar undang-undang tempatan atau antarabangsa," katanya.
Terdahulu, seorang pempengaruh tempatan yang menghasilkan kandungan media sosial di Kota Bandung, Jawa Barat, Indonesia didakwa berlakon mengenai kehilangan teman mereka di sebuah hutan.
KumparanNews menerusi laporan mereka pada Khamis mengesahkan siasatan polis mendapati ia adalah kandungan palsu.
Bagaimanapun, pempengaruh itu kemudiannya meminta maaf dan membuat kenyataan bertulis serta video pengakuan tidak akan mengulangi perbuatan tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

