Budaya reka cerita demi populariti rosakkan integriti golongan muda

SHAH ALAM - Normalisasi budaya manipulasi dan penipuan demi mengejar populariti di media sosial amat membimbangkan kerana perbuatan itu dapat merosakkan integriti golongan muda yang mudah terpengaruh.
Naib Timbalan Pengerusi Mahasiswa Keadilan Malaysia Universiti Putra Malaysia (UPM), Umairah Farisah Ahmad Yuzri berkata, tindakan itu juga menyebabkan generasi muda berisiko kehilangan nilai etika dan prinsip moral dalam membentuk masyarakat bertanggungjawab.
“Budaya seperti ini dikhuatiri memberi pengaruh buruk kepada pengikut media sosial terutama apabila kebanyakan mereka terdiri golongan muda yang cenderung meniru aksi negatif ditonjolkan oleh pempengaruh demi meraih populariti.
“Amalan itu juga merupakan sebahagian daripada budaya hedonisme yang mengutamakan hiburan semata-mata. Kini, gejala sosial semakin merebak sehingga golongan belia tidak lagi mampu membezakan yang baik dan buruk,” katanya kepada Sinar Ahad.
Pada Jumaat, pempengaruh Malaysia, Ammar Mohd Nazhan dan Aras tampil membuat permohonan maaf berhubung penghasilan kandungan media sosial mendakwa kehilangan teman mereka di sebuah hutan di Kota Bandung, Indonesia baru-baru ini.
Terdahulu, Ammar dan Aras mendakwa rakan mereka hilang selama 48 jam di Bukit Embah Garut selepas membuat siaran langsung berkenaan kandungan paranormal melalui TikTok.
Polis Indonesia mengesahkan bahawa kandungan sensasi berkenaan dibuat semata-mata untuk meningkatkan jumlah tontonan dan pengikut.
Mengulas lanjut, Umairah Farisah yang juga ahli jawatankuasa gerakan Kita Genk turut meluahkan kebimbangan sekiranya belia terus mengamalkan budaya itu dan menyalahgunakan platform media sosial demi meraih perhatian atau simpati sehingga sanggup menyebarkan berita palsu.
“Oleh itu, pihak berkuasa perlu mengambil tindakan tegas terhadap individu yang mencetuskan kekeliruan dan ketegangan dalam masyarakat khususnya di media sosial.
“Hukuman dikenakan adalah dengan memberi pengajaran dan bukannya semata-mata menghukum kerana masa depan mereka masih boleh diselamatkan,” tegasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!