Bukan akidah sahaja - Mufti Kelantan

Laporan Sinar Harian mengenai isu garis panduan umat Islam ke majlis atau upacara di rumah ibadat bukan Islam pada Sabtu. Gambar kecil: Mohamad Shukri
Laporan Sinar Harian mengenai isu garis panduan umat Islam ke majlis atau upacara di rumah ibadat bukan Islam pada Sabtu. Gambar kecil: Mohamad Shukri
A
A
A

SHAH ALAM - Usaha mewujudkan garis panduan yang sedang dirangka Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tidak sekadar menyentuh aspek akidah semata-mata, kata Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad.

Sebaliknya, penekanan mewujudkan garis panduan mengenai pembabitan umat Islam ke majlis atau upacara di rumah ibadat bukan Islam harus meliputi tiga kerangka atau tonggak utama iaitu akidah, syariat dan akhlak yang berhubung atau tidak boleh terputus antara satu sama lain.

Bagaimanapun, Mohamad Shukri menegaskan menjadi hak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan tiada keperluan untuk Jakim menyediakan garis panduan kepada umat Islam yang ingin menghadiri program anjuran penganut agama lain.

Tambahnya, umat Islam diharuskan menghadiri sebarang majlis dianjurkan masyarakat bukan Islam dengan syarat tidak melanggar sempadan akidah, syariat dan akhlak ditetapkan oleh ajaran Islam.

“Sebagai contoh, jika saya menerima jemputan menghadiri upacara pengebumian ketua kaum agama lain yang meninggal dunia, saya tidak boleh hadir kerana sudah pasti upacara berkenaan membabit ritual agama lain.

“Namun, Islam membenarkan kita menemui ahli keluarganya di rumah atau di tempat lain untuk menyampaikan salam takziah dan melahirkan rasa simpati kepada warisnya,” katanya kepada Sinar Ahad.

Terdahulu, Anwar menegaskan tiada keperluan untuk menetapkan garis panduan mengenai pembabitan umat Islam ke majlis atau upacara di rumah ibadat bukan Islam.

Beliau juga menegaskan umat Islam sebaliknya hanya perlu menjaga akidah dan mematuhi peraturan agama yang sudah ditetapkan.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Mohamed Shukri berkata, tindakan umat Islam tidak menghadiri pengebumian kenalan atau pemimpin bukan Islam tidak menjejaskan keharmonian kaum di Malaysia.

Jelasnya, masyarakat bukan Islam perlu faham garis panduan sedang dirangka Jakim tiada kena-mengena dengan kehidupan mereka serta amalan anutan agama masing-masing.

Katanya, sebarang garis panduan dibuat Jakim hanya terpakai kepada umat Islam dan diputuskan selepas dibincangkan secara mendalam oleh semua mufti menerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI).

“Saya menyanjung tinggi usaha dibuat semua pihak meningkatkan perpaduan dan keharmonian antara kaum dan agama.

“Rakyat Malaysia perlu menghormati batas agama masing-masing dan Islam sendiri membawa maksud kedamaian, keamanan dan kesejahteraan serta sentiasa menjunjung perpaduan dan keharmonian kaum.

“Justeru, orang bukan Islam perlu menghormati hak masyarakat Islam di Malaysia. Cuma saya kesal kerana tiada tindakan diambil terhadap mereka mempersendakan agama Islam sekali gus merosakkan keharmonian antara kaum dan agama,” tegasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!