Tolak cadangan pemindahan rakyat Palestin: Hamas berterima kasih kepada al-Sisi

Hamas mengucapkan terima kasih kepada Presiden Mesir Abdel Fattah al-Sisi kerana menolak sebarang cadangan atau langkah untuk memindahkan penduduk Semenanjung Gaza.
Hamas mengucapkan terima kasih kepada Presiden Mesir Abdel Fattah al-Sisi kerana menolak sebarang cadangan atau langkah untuk memindahkan penduduk Semenanjung Gaza.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Hamas mengucapkan terima kasih kepada Presiden Mesir Abdel Fattah al-Sisi kerana menolak sebarang cadangan atau langkah untuk memindahkan penduduk Semenanjung Gaza atau menempatkan mereka kepada mana-mana pihak atas apa jua alasan.

Dalam satu kenyataan, Jurucakap Hamas, Hazem Qassem memaklumkan bahawa kumpulan itu menghargai penegasan semula Presiden al-Sisi mengenai sokongan teguh Mesir terhadap perjuangan Palestin serta penolakannya untuk mengulangi ketidakadilan sejarah yang telah menimpa rakyat Palestin.

"Kami (Hamas) amat menghargai pendirian Arab yang dizahirkan oleh Presiden Mesir Abdel Fattah al-Sisi... Terima kasih Mesir yang dipimpin oleh Presiden Abdel Fattah al-Sisi,” kata jurucakap itu.

Kenyataan Qassem telah disediakan kepada Bernama oleh Kedutaan Mesir di sini.

Pada Rabu, Agensi Anadolu melaporkan bahawa al-Sisi menegaskan Mesir tidak akan terlibat dalam sebarang pemindahan paksa rakyat Palestin, menyifatkannya sebagai "satu kezaliman yang tidak boleh kami sertai.”

Bercakap pada sidang media bersama Presiden Kenya William Ruto, di Kaherah, al-Sisi mengulangi pendirian tegas Mesir terhadap perjuangan rakyat Palestin.

"Pendirian Mesir mengenai isu Palestin sejak dahulu lagi adalah tidak boleh dirunding," katanya sambil menegaskan komitmen negara itu terhadap penyelesaian dua negara.

Keselamatan negara Mesir tidak boleh dikompromi. Kami bertekad untuk bekerjasama dengan Presiden (Donald) Trump bagi mencapai penyelesaian damai berasaskan penyelesaian dua negara," katanya.

Artikel Berkaitan:

Trump sebelum ini menggesa supaya Gaza "dibersihkan" dan rakyat Palestin dipindahkan ke Mesir dan Jordan, menyifatkan wilayah itu sebagai "tapak runtuhan” susulan serangan genosid Israel.

Bagaimanapun, Kaherah dan Amman menolak keras sebarang cadangan pemindahan atau penempatan semula rakyat Palestin dari tanah mereka.

Cadangan Trump itu dibuat selepas perjanjian gencatan senjata di Gaza berkuat kuasa pada 19 Januari, dan menghentikan serangan Israel yang telah mengorbankan lebih 47,400 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, serta mencederakan lebih 111,000 orang sejak 7 Oktober 2023. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!