Permintaan tinggi beg hasil tangan peserta jahitan Kampung Chatin

TEMERLOH - Baru tiga bulan beroperasi,10 peserta bengkel jahitan beg kreatif Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Chatin di sini tidak menang tangan melayan permintaan pelanggan terhadap beg jenama 'Laa Chatine'.
Pengerusi JPKK Kampung Chatin, Jamal Abdul Nasir Yahya, 54, memberitahu, bengkel yang dibuka sejak 1 Disember lalu telah menerima ratusan tempahan membabitkan pelbagai agensi dan penduduk setempat.

Menurutnya, bengkel itu di bawah program Sejahtera Komuniti Madani dan mendapat peruntukan sebanyak RM50,000.
"Peserta terdiri wanita berusia 34 hingga 62 tahun yang bermula daripada 'kosong' mengenai pembuatan beg dan mereka dihantar menjalani kursus untuk enam hari di Kolej Komuniti.
"Selepas menjalani kursus, mereka memulakan kerja-kerja di bengkel sejak Disember tahun lepas.
"Kini mendapat permintaan menggalakkan dengan tempahan daripada Pejabat Daerah Temerloh serta Felda Jendera Selatan selain penduduk setempat," katanya kepada Sinar Harian.

Ujarnya, selain beg wanita, pihaknya juga mendapat tempahan beg lelaki yang dijual dengan harga bermula RM20 hingga RM35 setiap satu mengikut saiz.
Jelas beliau, idea mewujudkan bengkel jahitan tersebut daripada Pegawai Daerah Temerloh, Datuk Khairur Rizal Ramli dan kini telah memberikan manfaat kepada peserta untuk meraih pendapatan sampingan.
Tambahnya, dengan peruntukan yang diberikan, pihaknya mengubah suai bengkel itu yang dahulunya digunakan untuk Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) sebelum berpindah ke bangunan baharu selain membeli peralatan seperti mesin jahit dan fabrik.
"Menjelang sebelum Aidilfitri ini, kita perlu siapkan 300 beg untuk diserahkan kepada pelanggan.
"Setiap peserta di sini mendapat pembahagian tugas antaranya menjahit, menyiapkan pola dan menggunting sebelum beg dapat disiapkan," katanya lagi.

Bagi seorang suri rumah, Afifah Mahmud, 34, selain dapat meraih pendapatan sampingan, dia juga memperoleh kemahiran menjahit selain dapat bekerjasama sebagai satu pasukan dalam bengkel tersebut.
"Di sini semua bekerja sebagai satu pasukan dan sebagai peserta paling muda, seronok dapat berkongsi ilmu dan kemahiran," jelasnya.

Seorang lagi peserta, Normiza Osman, 62, menyertai bengkel itu untuk mengisi masa lapang selepas suaminya meninggal dunia pada Ogos tahun lalu.
"Selain itu, saya dapat menambah kemahiran baru, kerana sebelum ini memang saya menjahit baju lelaki dan wanita selain seronok dapat bersama peserta lain di sini," tambahnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!