Kian Ming perlu berterus terang mahu jawatan Duta ke AS - Nazri Aziz

KUALA LUMPUR – Bekas Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat (AS), Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz menempelak kenyataan bekas Ahli Parlimen DAP, Dr Ong Kian Ming yang mendakwa beliau ‘gagal’ mengatur panggilan telefon antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden AS, Donald Trump.
Nazri menyifatkan gesaan Kian Ming sebagai tidak relevan, selain beranggapan bekas wakil rakyat berkenaan sebenarnya mahu ‘menjual diri’ supaya dilantik sebagai Duta Besar Malaysia ke AS.
“Tidak perlulah mencari kelemahan dan kesalahan saya. Sepanjang dua tahun menjadi duta, saya akui bukanlah yang terbaik. Namun, sebelum ini saya tidak pernah memperlekeh duta-duta terdahulu,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Beliau menjelaskan, isu panggilan telefon antara Anwar dengan Trump bukanlah agenda utama, berbanding usaha menarik pelaburan syarikat AS ke Malaysia.
“Untuk orang bijak seperti Kian Ming, panggilan telefon itu nampaknya seolah-olah keutamaan. Kita patut beri tumpuan pada usaha memperkuat pelaburan ke Malaysia. Tambahan pula, dengan pendirian tegas
Anwar dalam isu Palestin dan Gaza, adakah pasukan Trump benar-benar sedia berbincang secara terbuka?” soalnya.
Dalam kenyataannya, Nazri turut mempersoalkan tindakan Kian Ming yang mencadangkan beberapa nama lain, termasuk Nurul Izzah Anwar dan Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz, sebagai pengganti beliau di Washington.
“Mengapa perlu menyebut beberapa nama dan pada masa sama mengkritik saya? Pada saya, ia hanya menampakkan hasrat sebenar beliau mahu diambil sebagai duta,” sindir Nazri.
Nazri sebelum ini turut menegaskan bahawa pelantikannya memang untuk tempoh dua tahun, bukannya diberhentikan secara tiba-tiba. Tempoh tersebut berakhir pada 8 Februari, menamatkan khidmat rasmi beliau di Washington.
Beliau bagaimanapun bersyukur dapat menyumbang kepada usaha menaik taraf kedudukan Malaysia dalam Laporan Pemerdagangan Manusia (TIP) terbitan Jabatan Negara AS, daripada Tier 3 kepada Tier 2 (pemerhatian).
Selain itu, Nazri berkata, beliau memainkan peranan memudahkan urusan pembebasan dua rakyat Malaysia yang ditahan di Teluk Guantanamo sejak 2006, sehingga berjaya dibawa pulang Disember tahun lalu.
Mengulas lanjut, Nazri menegaskan keutamaan seorang duta adalah mempertahankan dasar dan pendirian negara, termasuk dalam isu Palestin dan Gaza.
“Kita tidak boleh berkompromi atau berubah-ubah pendirian demi mendapatkan ‘akses’ kononnya untuk panggilan telefon. Isu Palestin cukup sensitif, dan pendirian Malaysia jelas menyokong perjuangan rakyat Palestin,” katanya.
Dalam nada tegas, Nazri mengingatkan Kian Ming supaya lebih jujur sekiranya benar-benar mahukan jawatan tersebut.
“Tidak perlu bermain politik atau menonjolkan kelemahan orang lain. Jika benar mahu dicalonkan, katakan sahaja terus terang. Saya sendiri tidak pernah minta jawatan ini. Nama saya dicadangkan Perdana Menteri kesembilan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob,” katanya.
Nazri turut menyelar pihak yang mendesak kerajaan memanggil balik beliau daripada AS sebelum ini, disebabkan tindakannya memegang plakad pro-Trump secara berseloroh, sambil menyifatkan individu terbabit sebagai ‘hilang jenaka’ dan memburukkan negara sendiri’.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!