Tamat tugas Duta Besar AS, Nazri mahu segera pulang bantu PMX

SHAH ALAM - Bekas Menteri Pelancongan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz yang tamat kontrak sebagai Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat (AS) pada Sabtu, mahu segera pulang ke Malaysia untuk membantu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Selepas dua tahun berkhidmat di Washington DC, Mohamed Nazri menegaskan beliau akan menolak jika kerajaan bercadang mahu menyambung lagi perkhidmatan beliau selaku Duta Besar Malaysia ke negara berkenaan.
Bekas Ahli Parlimen Padang Rengas itu menambah, beliau tidak boleh kekal memegang jawatan lantikan berkenaan kerana nekad mahu membantu Anwar secepat mungkin dalam mengadakan persiapan awal mendepani Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
"Tak boleh saya nak tolong PMX... kalau saya di AS sahaja kena balik tahun 2027 (jika kontrak disambung dua tahun), PRU16 dah terlepas.
"Saya tak peduli orang lain dan akan bantu dia...bukan bertanding (sebagai calon pada PRU16)," katanya sebagaimana dilaporkan portal Free Malaysia Today (FMT) pada Jumaat.
Untuk rekod Kementerian Luar, Mohamed Nazri mula memegang jawatan Duta Besar Malaysia ke AS sejak 9 Februari 2023 dan dipilih kerana pengalaman luasnya sebagai anggota pentadbiran negara.
Ketua UMNO Bahagian Padang Rengas itu memiliki pelbagai pengalaman termasuk pernah dilantik sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dari tahun 1999 hingga 2004, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Parlimen) (2004 hingga 2013) serta Menteri Pelancongan dan Kebudayaan (2013 hingga 2018).
Spekulasi mengenai pengganti Mohamed Nazri ditimbulkan bekas Ahli Parlimen Bangi, Dr Ong Kian Ming susulan kontrak lantikan pemimpin veteran UMNO itu tamat pada Sabtu.
Dalam ruangan podcastnya, bekas Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia (MITI) dari DAP itu mencadangkan lima individu untuk dipertimbangkan Putrajaya sebagai Duta Besar Malaysia ke AS yang baharu.
Tokoh pemimpin dicadangkan termasuk Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar dan Menteri MITI sedia ada, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Kian Ming turut menamakan bekas Pengerusi Kumpulan CIMB, Tan Sri Mohamed Nazir Abdul Razak; bekas Ahli Parlimen Balik Pulau, Mohd Yusmadi Mohd Yusoff dan Pengerusi Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Malaysia (ISIS), Datuk Profesor Dr Mohd Faiz Abdullah.
Beliau juga mendakwa Mohamed Nazri gagal mengatur panggilan telefon antara Anwar dengan Presiden AS, Donald Trump, dan menegaskan panggilan sebegini sebagai isyarat penting dalam komuniti diplomatik.
Mengulas lanjut, Mohamed Nazri membidas Kian Ming sebagai dangkal sekiranya menjadikan ukuran aturan percakapan telefon di antara Perdana Menteri bersama Trump sebagai satu kejayaan negara.
Menurutnya, sekiranya Anwar tidak dapat bercakap dengan Trump, bukan bermakna Malaysia mempunyai kekurangan memandangkan negara ini mengambil pendirian menyokong Palestin.
"Kita kena baca bahawa hubungan Malaysia dengan AS satu peringkat bawah berbanding negara Kian Ming sebutkan (Filipina, Thailand, dan Singapura)...Kita kena faham pendirian kita keras kutuk Israel.
"Jadi, kita lihat pentadbiran Trump macam mana iaitu nak ambil Gaza. Maksudnya, beliau tak suka kita punya pendirian. Kalau tak suka pendirian kita, (Trump) tak nak bercakap dengan Anwar biarlah. Mengapa kita rasa kita kekurangan?" katanya.
Mohamed Nazri turut menyebut kejayaan dicapainya selama dua tahun menjadi diplomat di AS antaranya peningkatan pelaburan negara, kejayaan Malaysia naik ke tahap 2 dalam Laporan Jabatan Negara Amerika Syarikat (JNAS) mengenai Pemerdagangan Orang tahun 2024 dan membawa pulang dua rakyat Malaysia dari penjara di Guatanamo.
"Kalau nak dianggap mengenai kejayaan, ini adalah kejayaan. Jadi pandangan Kian Ming tak boleh dipakai kerana dia cakap benda tidak munasabah," katanya.
Mohamed Nazri juga menegaskan tempoh pelantikannya hanya untuk dua tahun memandangkan beliau adalah lantikan politik bukan berstatus diplomat.
"Jadi esok (Sabtu) hari terakhir dan saya telah buat persiapan untuk balik Malaysia 14 Februari depan iaitu seminggu sebelum visa saya mati," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!