ITC sasar RM144 juta hasil kedatangan pelancong Muslim China, Eropah

PETALING JAYA - Islamic Tourism Centre (ITC) menyasarkan pendapatan berjumlah RM144 juta hasil kemasukan pelancong Muslim dari China dan Eropah tahun ini.
Pemangku Ketua Pengarah ITC, Nur Alyssa Coraline Yussin berkata, sasaran tersebut meningkat berbanding tahun lalu didorong program pertukaran budaya edisi kedua anjuran ITC dengan kerjasama Malaysian Inbound Chinese Association (MICA) bagi tahun 2025.

“Sasaran ini adalah wajar berikutan program pertukaran budaya kali ini melibatkan tiga siri. Dua siri melibatkan penyertaan wakil-wakil Muslim berpengaruh dari China manakala siri ketiga melibatkan wakil dari negara Eropah.
“Ia merupakan kesinambungan program pertukaran budaya edisi pertama pada 10 hingga 16 Januari 2024 yang menyaksikan kemasukan 58,000 pelancong Muslim dari China dengan hasil pendapatan berjumlah RM92.8 juta setakat Februari hingga Mac,” katanya ketika majlis minum petang dan makan malam bersama delegasi Muslim dari China di Durian Wonderland, Petaling Jaya pada Khamis.
Program pertukaran budaya edisi kali kedua ini berlangsung selama seminggu mulai 5 hingga 11 Februari dan disertai 77 wakil Muslim berpengaruh dari 23 wilayah di China antaranya Beijing, Guangzhou dan Shanghai.
Rombongan terdiri daripada 49 lelaki dan 28 wanita itu dijadual melawat beberapa lokasi menarik sekitar Putrajaya, Kuala Lumpur, Melaka, Negeri Sembilan dan Selangor.
Menurut Nur Alyssa Coraline, antara objektif program adalah untuk mempopularkan destinasi pelancongan Malaysia melalui wakil-wakil Muslim berpengaruh dari pelbagai wilayah di China terdiri daripada imam dan ustazah madrasah.

“Selain mengetengahkan produk pelancongan konvensional, kita juga mahu memperkenalkan sisi lain Malaysia misalnya pelancongan pendidikan seperti universiti, masjid-masjid serta tidak ketinggalan produk yang boleh menarik pelaburan dari China.
“Durian misalnya, kita maklum pelancong dari China amat gemar durian terutama dari Malaysia dan mungkin ada peluang pelaburan yang boleh diusahakan,” katanya.
Katanya, lebih banyak program seumpama ini akan dijalankan pada tahun ini dengan kerjasama Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (Bumitra) dan Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

