Padah kenakan syarat beli minyak masak peket
KULIM - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah menyita kira-kira 2,006 kilogram (kg) minyak masak peket bersubsidi 1kg dari sebuah kedai runcit di Lunas, di sini, kerana mengenakan syarat pembelian barang keperluan tersebut.
Pengarahnya, Muhammad Nizam Jamaludin berkata, pegawai penguat kuasa KPDN Cawangan Kulim telah melakukan uji beli melalui Ops Sabur bagi pengesahan terhadap aduan di premis terbabit.
Beliau berkata, dalam uji beli yang dijalankan, seorang wanita yang bekerja sebagai juruwang di premis itu didapati mengenakan syarat pembelian dengan menetapkan pelanggan perlu membeli barangan lain bernilai RM15 untuk berpeluang membeli dua peket minyak masak bersubsidi 1kg.
"Susulan itu, sepasukan pegawai penguat kuasa yang terdiri daripada lima orang telah memasuki premis tersebut untuk melakukan pemeriksaan lanjut pada jam 10.30 pagi.
"Hasil pemeriksaan mendapati premis tersebut mempunyai lesen menjual barang kawalan seperti gula, minyak masak, dan tepung gandum (GMT)," katanya dalam kenyataaan pada malam Khamis.
Beliau menambah, pemeriksaan turut mendapati sebanyak 2,006kg minyak masak peket 1kg bersubsidi berada dalam simpanan di stor premis tersebut.
"Susulan itu, pasukan serbuan telah menyita minyak masak tersebut dianggarkan bernilai RM5,015 untuk siasatan lanjut daripada pemilik premis berusia 39 tahun," katanya.
Muhammad Nizam memaklumkan, kes ini disiasat di bawah Seksyen 19 Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122].
Menurut beliau, KPDN memberi amaran bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang mengenakan syarat, menyembunyikan, atau enggan menjual minyak masak peket 1kg bersubsidi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

