Keluhan segelintir ibu bapa yang pilih BAP secara online

[DIKEMAS KINI] BANTUAN Awal Persekolahan (BAP) yang diperuntukkan Kerajaan Madani di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) sememangnya dinantikan ibu bapa bagi meringankan beban untuk membeli kelengkapan persekolahan pada sesi akan datang.
Sebanyak RM791.25 juta disalurkan khusus untuk bayaran BAP berjumlah RM150 kepada setiap murid secara sekali bayar, sekali gus memberi manfaat kepada lebih 5.2 juta murid di negara ini.
Jika sebelum ini pengagihan menggunakan kaedah serahan secara tunai kepada ibu bapa bagi sekolah rendah dan untuk sekolah menengah diserahkan kepada ibu bapa atau pelajar terus, namun tahun ini, kementerian memudahkan cara penyerahan apabila ibu bapa tidak perlu hadir ke sekolah, sebaliknya dimasukkan terus ke dalam akaun bank.
Bagaimanapun, setelah hampir tiga minggu cuti persekolahan dan berbaki beberapa hari lagi untuk memulakan sesi baharu, ada kalangan murid dan ibu bapa yang merungut dan mendakwa masih menanti BAP tersebut.
Difahamkan, kebanyakan mereka yang mengalami kesulitan ini adalah yang memilih kaedah agihan secara pengkreditan sehingga ada dalam kalangan golongan B40 masih tidak dapat membuat persiapan persekolahan, lebih-lebih lagi yang mempunyai bilangan anak ramai.
Bukan tidak bersyukur, namun bagi mereka cuti persekolahan inilah masa sesuai untuk membawa anak-anak membeli kelengkapan persekolahan seperti pakaian seragam, alat tulis dan sebagainya.
Malah, sekarang juga masa yang tepat untuk membuat persiapan memandangkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menganjurkan program Jualan Rahmah Madani (PJRM) kembali ke sekolah.
Disebabkan itu, ada ibu bapa yang ‘termenung’ memikirkan nasib anak-anak yang belum membuat sebarang persiapan kerana mereka mengharapkan bantuan itu diterima dalam musim cuti persekolahan ini berbanding mereka yang memilih secara tunai telah menerimanya sebelum cuti persekolahan lalu melabuhkan tirai.
Bukanlah untuk menyalahkan kerajaan tetapi ada ibu bapa yang sedikit kecewa dengan pihak pengurusan sekolah kerana tidak memaklumkan permasalahan kepada pelajar-pelajar yang masih belum menerima bantuan tersebut.
Mereka faham ini pertama kali agihan secara pengkreditan diperkenalkan dan sudah tentu ada kelemahan serta kekurangan yang tidak dapat dielakkan melalui sistem berkenaan, tetapi pihak berkaitan termasuk Jabatan Pendidikan perlu memainkan peranan.
Ini kerana, ada antara ibu bapa sama ada pelajar rendah atau menengah terpaksa menghantar pesanan ringkas kepada guru kelas untuk mengetahui status bantuan tersebut.
Bagaimanapun, ada juga sekolah memberi alasan kesulitan itu berlaku disebabkan pertukaran guru hingga menyebabkan wang bantuan itu sehingga ke hari ini belum dapat dimasukkan ke akaun penerima.
Mungkin ada ibu bapa yang berkemampuan tidak kisah jika lambat menerima bantuan tersebut, tapi bagaimana pula golongan yang kurang bernasib baik.
Mereka begitu mengharapkan untuk membuat persiapan awal kerana bimbang di saat akhir bukan sahaja sukar terutama mencari saiz baju sekolah dan kasut yang sesuai.
Di sebalik kesulitan ini mereka mengharapkan kementerian dapat menambah baik kaedah agihan yang dibuat sebelum bermulanya cuti persekolahan baharu, agar ibu bapa juga tidak mengganggu guru-guru yang sedang bercuti ketika ini.
Dalam kes ini, ibu bapa juga sebenarnya perlu berazam mempunyai simpanan kecemasan agar jika berlaku situasi sebegini mereka masih boleh membeli kelengkapan persekolahan anak-anak di awal cuti sekolah dengan mendahulukan wang simpanan tersebut.
Apa pun, semoga ibu bapa benar-benar dapat memanfaatkan bantuan yang diberikan kerajaan ini. Bagi yang masih menunggu BAP diharapkan terus bersabar dan diharap kerajaan memandang serius perkara ini.
*Nor Farhana Yaacob ialah Wartawan Sinar Harian Biro Melaka & Negeri Sembilan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!