Ibu bapa serbu jualan baju sekolah RM5

BUTTERWORTH - Jualan baju sekolah serendah RM5 berjaya menarik perhatian apabila orang ramai berpusu-pusu mendapatkan kelengkapan sekolah di sebuah kedai di Jalan Telaga Air di sini sejak Sabtu lalu.
Tinjauan Sinar Harian mendapati, golongan ibu bapa tidak melepaskan peluang membeli barangan keperluan sekolah untuk anak mereka sebagai persiapan sesi persekolahan baharu yang akan dibuka tidak lama lagi.
Pemilik kedai, S Selwam berkata, jualan murah pakaian sekolah itu diadakan bagi membantu meringankan beban orang ramai yang berdepan peningkatan kos sara hidup ketika ini.
Menurutnya, promosi jualan dijadualkan berlangsung selama tujuh hari menyediakan kelengkapan sekolah seperti baju, kain, seluar dijual pada RM5 sehelai manakala tudung sekolah dijual dengan harga RM1 sehelai.

"Pada hari pertama kita menjual kasut sekolah juga dengan harga RM5 sepasang, namun tidak sampai 24 jam semuanya habis dibeli.
"Untuk pakaian pula, kita bawa lebih 20,000 helai dan setakat ini kira-kira 10,000 pakaian pelajar sekolah rendah dan menengah habis dijual hanya dalam tempoh empat hari," katanya ketika di sini pada Selasa.
Selwam yang mengusahkan perniagaan tekstil dan langsir keluarga sejak 40 tahun lalu berkata, dia mendapatkan bekalan baju sekolah dari syarikat yang baharu menutup perniagaan mereka.
Katanya, walaupun agak penat kerana menerima jumlah pelanggan begitu ramai sejak jualan murah diadakan, namum gembira apabila dapat membantu menjimatkan belanja.

"Tak apalah walaupun hanya dapat untung sedikit sahaja tapi saya puas hati kerana dengan cara ini dapat bantu mereka memerlukan," katanya.
Sementara itu, beberapa ibu bapa ditemui menzahirkan rasa syukur kerana dapat berjimat dalam mendapatkan barangan keperluan sekolah anak-anak tahun ini.
Muhamad Hafiz Lahman, 37, berkata anak keduanya akan ke sekolah rendah dan memerlukan perbelanjaan lebih untuk membeli kelengkapan sekolah pada sesi persekolahan tahun ini.

"Sebelum ini banyak juga yang perlu saya siapkan untuk membeli pakaian sekolah anak-anak tapi dengan harga RM5, saya boleh jimat banyak.
"Bila dapat berjimat, tak perlu lagi risau sangat nak beli buku dan kelengkapan sekolah lain," katanya.
Perkara sama turut diakui Ros Abdullah yang turut lega kerana dapat berjimat melalui jualan murah diadakan itu.

Menurut ibu kepada tujuh anak berasal dari Penanti ini, mengetahui jualan murah melalui laman sosial dan terus ke kedai bersama anak-anak membeli keperluan mereka.
"Syukur kerana jualan murah ini membantu mengurangkan kos yang selama ini memeningkan kami sekeluarga.
"Anak saya belajar di Tahun Empat manakala seorang lagi di Tingkatan Empat, jadi bila kita jimat beli pakaian duit baki yang ada boleh digunakan untuk membeli buku termasuk yuran tambahan lain,” katanya.
Sementara itu, P Shamala, 45, berkata jualan murah itu memberi manfaat kepada ibu bapa yang bergelut dengan kos tinggi menjelang pembukaan sekolah.

“Kalau ikutkan, biasanya saya perlu belanja lebih RM300 untuk beli kelengkapan sekolah untuk tiga anak tapi dengan jualan ini, saya hanya belanja RM100 sahaja," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
