Prabowo beri bayangan rombakan Kabinet

JAKARTA - Presiden Indonesia, Prabowo Subianto memberi isyarat akan berlaku rombakan Kabinet selepas menilai prestasi menteri-menterinya dalam tempoh 100 hari pertama pemerintahannya.
Menurut presiden kelapan itu, pemimpin yang gagal menunaikan tanggungjawab kepada rakyat tidak akan diberi tempat dalam pentadbirannya dan akan segera diganti.
"Rakyat menuntut pemimpin yang bersih dan bekerja untuk mereka, jadi saya ingatkan bahawa mereka (pemimpin) yang tidak mahu bekerja untuk rakyat saya akan singkirkan.
“Kami telah memberi peluang sepanjang 100 hari pertama untuk mereka membetulkan diri. Jika masih ada yang tidak mahu berubah, kami tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan,” katanya ketika berucap sempena ulang tahun ke-102 Nahdlatul Ulama di Jakarta pada Rabu.
Prabowo yang mengangkat sumpah sebagai presiden pada 20 Oktober lalu, secara rasmi mencapai tempoh 100 hari pentadbiran pada 28 Januari lalu.
Isyarat yang diberikan oleh Prabowo itu hadir di tengah-tengah desakan agar kabinetnya yang terdiri daripada 109 individu termasuk 48 kementerian dan beberapa agensi pemerintah dikaji semula.
Laporan Pusat Kajian Ekonomi dan Undang-Undang (Celios) yang melibatkan kajian terhadap 95 wartawan menyenaraikan beberapa menteri dengan prestasi paling lemah.
Antara yang tersenarai adalah Menteri Hak Asasi Manusia, Natalius Pigai; Menteri Koperasi,Budi Arie; Menteri Tenaga, Bahlil Lahadalia; Menteri Perhutanan, Raja Juli Antoni; serta Menteri Pembangunan Wilayah Terpinggir, Yandri Susanto. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

