Visi Komuniti ASEAN 2045 dilancar pada Sidang Kemuncak ASEAN Mei ini

ASEAN akan melancarkan Visi Komuniti ASEAN 2045 dan empat Pelan Strategiknya yang bakal melakar hala tuju strategik rantau ini bagi 20 tahun akan datang pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di ibu negara, Mei ini. Foto fail Bernama
ASEAN akan melancarkan Visi Komuniti ASEAN 2045 dan empat Pelan Strategiknya yang bakal melakar hala tuju strategik rantau ini bagi 20 tahun akan datang pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di ibu negara, Mei ini. Foto fail Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - ASEAN akan melancarkan Visi Komuniti ASEAN 2045 dan empat Pelan Strategiknya yang bakal melakar hala tuju strategik rantau ini bagi 20 tahun akan datang pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di ibu negara, Mei ini.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, empat Pelan Strategik tersebut meliputi aspek Politik-Keselamatan, Ekonomi, Sosio-Budaya dan Kesalinghubungan.

"Visi ini bertujuan menzahirkan aspirasi ASEAN dalam memacu rantau ini sebagai sebuah rantau yang bersepadu dari aspek politik, ekonomi dan sosial, seterusnya menjadikan ASEAN sebagai contoh kepada dunia.

"Sebagai Peneraju Utama atau Permanent Shepherd visi ini, Malaysia akan memastikan ia menjadi kerangka utama dalam menangani cabaran semasa dan akan datang melalui pelbagai kerjasama strategik yang telah dikenal pasti dalam kesemua Pelan Tindakan ke arah keamanan dan kestabilan di rantau ini,” katanya.

Beliau menjawab soalan Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) pada Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini, berhubung objektif Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 dalam memacu kesatuan, daya tahan dan relevansi ASEAN dari aspek politik-keselamatan, ekonomi dan sosiobudaya.

Mohamad berkata, setakat hari ini, perbincangan mengenai keempat-empat Pelan Strategik berjalan lancar dan sejajar dengan perancangan ditetapkan dengan dua daripada empat Pelan Strategik tersebut yang meliputi Keselamatan dan Sosio-Budaya berjaya dimuktamadkan.

"Sementara dua lagi Pelan Strategik masing-masing telah sempurna dalam lingkungan 85 hingga 99 peratus. Saya yakin dokumen-dokumen tersebut akan dapat dimuktamadkan sebagaimana dirancang,” katanya.

Beliau berkata, dalam memacu kesatuan, daya tahan dan relevansi rantau ini di peringkat global, Malaysia menggariskan tiga keutamaan Kepengerusiannya, antara lain memberi tumpuan kepada meningkatkan usaha memastikan rantau Asia Tenggara kekal aman, stabil, selamat dan makmur ketika berhadapan cabaran geopolitik antarabangsa semasa.

Selain itu, Malaysia akan memberi tumpuan kepada usaha untuk meningkatkan perdagangan dan pelaburan intra-ASEAN yang dilihat masih berada di peringkat yang rendah serta memperluas kerjasama dan perkongsian ekonomi dengan rakan-rakan di luar rantau ini.

Artikel Berkaitan:

"Malaysia akan mempromosikan sebuah komuniti yang inklusif, mampan, dan berdaya saing dengan mengutamakan usaha-usaha untuk merapatkan jurang pembangunan, meningkatkan kualiti kehidupan dan menangani impak perubahan iklim,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, kesepakatan, kefahaman dan kerjasama antara negara-negara ASEAN perlu diperkukuh tatkala terdapat usaha untuk memecah-belahkan blok berkenaan di tengah-tengah equiliburium geopolitik dan geoekonomi dunia yang berpecah dan tidak stabil seperti dahulu.

Katanya sebagai Pengerusi ASEAN, seboleh-bolehnya Malaysia mahu mengelak perkara itu, sebaliknya berusaha memperkukuh kesatuan dan kesepakatan sebagai satu blok aman serta stabil yang mempunyai potensi perkembangan ekonomi kuat.

"Menjelang 2030, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) ASEAN menjadi ekonomi keempat terbesar dunia, ini peluang perlu kita ambil dengan syarat kita mesti bersepakat dan pastikan kesatuan ASEAN tetap utuh dan tidak berpecah,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!