JKM cari ibu kandung, waris Kaviarasan dan Kaviya

JKM mencari ibu kandung atau waris kepada Kaviarasan dan Kaviya.
JKM mencari ibu kandung atau waris kepada Kaviarasan dan Kaviya.
A
A
A

TAMPIN - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah Tampin sedang mencari ibu kandung atau waris kepada kanak-kanak lelaki dikenali sebagai Kaviarasan yang kini berusia 12 tahun.

JKM dalam satu kenyataan memaklumkan kanak-kanak tersebut telah dirujuk ke jabatannya yang mana kanak-kanak itu telah dijaga oleh penjaga yang merupakan pasangan suami isteri sejak berusia dua tahun pada tahun 2014.

"Ia selepas diserahkan oleh seorang lelaki yang bekerja sebagai pemandu teksi pada ketika itu.

"Ibu kandung kanak-kanak tersebut dikatakan bernama Maria Rosliya, warga Indonesia. Namun, kedua-duanya sudah menghilangkan diri dan tidak ditemui sehingga sekarang," kata kenyataan itu.

Jelas kenyataan itu, kanak-kanak berkenaan telah diserahkan kepada penjaga di alamat Gemencheh, Negeri Sembilan.

"Perintah Jagaan Sementara di bawah Seksyen 19 (2) Akta Kanak-Kanak 2001 iaitu meletakkan kanak-kanak di dalam pemeliharaan Orang Yang Layak dan Sesuai (OYLS) telah dipohon pada 29 November tahun lalu.

"Maklumat lengkap ibu kandung tidak diketahui kerana penjaga tidak pernah melihat atau menyimpan sebarang salinan dokumen pengenalan dan kanak-kanak masih belum mempunyai sijil kelahiran.

"Pelindung JKM kini dalam usaha mengesan ibu kandung atau waris kepada kanak-kanak. Sehubungan itu, jabatan ini mengalu-alukan waris atau mana-mana individu yang mempunyai maklumat untuk menghubungi Pelindung kes, iaitu Cik Nur Shahirah Mohd Nor Azlan di talian 06-4411646," kata kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu, pihak berkenaan juga boleh hadir ke Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Tampin bagi memberikan maklumat dan seterusnya membantu mahkamah untuk membuat keputusan terbaik bagi penempatan dan kebajikan kanak-kanak.

Artikel Berkaitan:

JKM cari ibu kandung Kaviya

Dalam pada itu, JKM Daerah Kuala Selangor juga sedang mencari ibu kandung kepada seorang kanak-kanak perempuan dikenali dengan nama Kaviya bagi urusan penjagaan dan penempatan.

Pelindung Kanak-Kanaknya, Intan Shafika Shaidan berkata, ibu kanak-kanak itu bernama Zhen meninggalkan anaknya yang dianggarkan berusia tujuh tahun kepada pasangan suami isteri pada Jun 2020 lalu.

"Kanak-kanak telah dirujuk kepada Pelindung Kanak-Kanak di JKM Daerah Kuala Selangor pada Disember tahun lalu," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau memberitahu, kanak-kanak itu telah ditempatkan dalam jagaan sementara orang yang layak dan sesuai di bawah peruntukan Seksyen 19(2) Akta Kanak-Kanak 2001 bermula 26 Disember tahun lalu sehingga 26 Februari ini.

"Kes kanak-kanak telah disiasat di bawah peruntukan Seksyen 17 Akta Kanak-Kanak 2001," tambah beliau.

Sehubungan itu, katanya, pihaknya memerlukan maklumat berhubung ibu kandung kanak-kanak bagi membolehkan Pelindung Kanak-Kanak melengkapkan siasatan dan penempatan kanak-kanak dapat dilakukan dengan sewajarnya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung ibu kandung kanak-kanak boleh disalurkan ke Bahagian Kanak-Kanak di JKM Daerah Kuala Selangor di talian 03-32891495.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!