IOIPG Foundation raikan kanak-kanak kurang bernasib baik

IOI Properties Group (PG) Foundation meneruskan tradisi kebajikan mereka dengan menganjurkan program Chinese New Year ‘Wish Tree Celebration’ di House of Love (Pertubuhan Rumah Anak Yatim Berkat Kasih), Klang.
Menurut Ketua Komunikasi Korporat Kumpulan IOIPG, Kim Teoh, program berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha syarikat itu untuk merealisasikan impian kanak-kanak yang kurang bernasib baik.
"IOIPG Foundation ditubuhkan dua tahun lalu dengan fokus kepada pembangunan kanak-kanak. Kami percaya pendidikan sangat penting, dan melalui program Wish Tree, kami ingin membawa kegembiraan kepada mereka," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Jelasnya, program Wish Tree bermula pada sambutan Hari Raya tahun lalu, diikuti dengan Krismas, dan kini Tahun Baru Cina.
“Setiap kali perayaan, sebuah pokok khas akan didirikan di lobi IOI City Tower 2, memaparkan permintaan anak-anak dari rumah kebajikan.
"Kami meminta staf dan rakan-rakan korporat untuk memenuhi permintaan anak-anak ini. Mereka boleh memilih untuk menyumbang barang yang diminta seperti basikal, kasut, alat tulis, atau jam tangan pintar," katanya,
Kim Teoh berkata, konsep tersebut lebih bersifat peribadi berbanding pemberian wang tunai atau barangan secara rawak.
"Kami mahu anak-anak ini mendapat apa yang mereka benar-benar perlukan dan inginkan supaya mereka berasa dihargai dan lebih bersemangat untuk belajar," katanya.
Selain itu, program ini juga membuka peluang bagi syarikat korporat untuk menaja pendidikan tertier bagi anak-anak yatim yang cemerlang.

Sementara itu, pengasas House of Love, Dr. Joseph Pang, berkata rumah kebajikan berkenaan menempatkan 24 kanak-kanak yang terdiri daripada 16 lelaki dan 8 perempuan berusia antara 5 hingga 19 tahun.
Beliau turut menzahirkan rasa syukur atas inisiatif syarikat seperti IOI City Tower 2 yang tampil membantu dengan menyumbangkan barangan keperluan kepada kanak-kanak di rumah kebajikan berkenaan.
“Saya harap lebih banyak syarikat dan individu tampil untuk menyalurkan bantuan sama ada dalam bentuk wang, barangan keperluan atau tenaga sukarela.

"Setiap sumbangan, tidak kira kecil atau besar sangat bermakna buat kami. Kami berharap dapat terus memberikan perlindungan kepada kanak-kanak yang memerlukan dan membantu mereka membina masa depan yang lebih baik," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!