CIC pusat rakam keterangan saksi, mangsa kanak-kanak

KUALA LUMPUR - Sebanyak 27 Pusat Temuduga Kanak-Kanak (CIC) ditempatkan di seluruh negara bagi menangani kes-kes jenayah melibatkan kanak-kanak.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan berkata, CIC berperanan untuk membuat rakaman video terhadap keterangan kanak-kanak di bawah 18 tahun.
Katanya, CIC dilengkapi dengan alat berteknologi tinggi untuk merakam keterangan bagi tujuan pendakwaan dan siasatan.
“Di sini kita ambil keterangan mereka secara menyeluruh bermakna bukan hanya keterangan lisan tetapi juga ekspresi muka, objek yang dilukis dan sebagainya.
“CIC ini untuk pihak polis mendapatkan keterangan saksi dan mangsa kanak-kanak tidak kira jenayah apa termasuklah narkotik, kes bunuh dan tidak tertumpu kes jenayah seksual sahaja,” katanya kepada Sinar Harian.Tambahnya, setiap proses keterangan yang direkodkan di CIC juga mampu mengurangkan trauma kanak-kanak di mahkamah.
“Bila kita gunakan keterangan daripada rakaman CIC di mahkamah, kanak-kanak ini tidak perlu hadir ke mahkamah dalam keterangan utamanya di peringkat awal.
“Prosedur siasatan ialah susulan daripada laporan polis yang diterima. Kita akan klasifikasi berdasarkan kesalahan di bawah seksyen berkaitan.
“Jika ada kecederaan yang lebih utama, perlu dirawat dulu di hospital kerana pemeriksaan doktor sangat penting sebagai keterangan sokongan. Selain itu, siasatan juga merangkumi gambar di lokasi kejadian selain bukti-bukti forensik serta kimia,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
