FAMA sasar nilai jualan 222 pasar tani RM350 juta tahun ini

PETALING JAYA - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menyasarkan nilai jualan daripada 222 pasar tani di seluruh negara meningkat sehingga 15 peratus iaitu RM350 juta sepanjang 2025 berbanding RM300 juta pada tahun sebelumnya.
Ketua Pengarah FAMA, Abdul Rashid Bahri berkata, walaupun menghadapi persaingan dengan pasar raya dan bisnes baharu, namun pihaknya yakin pasar tani akan bertahan berikutan mempunyai peminatnya tersendiri.
"Pasar tani pertama telah ditubuhkan pada 31 Januari 1985 di Johor Bahru dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ketika itu menjadi Menteri Pertanian dan berjaya catat nilai jualan RM1.85 juta.
"Tahun lepas pencapaian 222 pasar tani seluruh negara rekod nilai jualan lebih kurang RM300 juta, jadi dijangka angka ini akan terus meningkat 10 hingga 15 peratus pada tahun ini.
"Kami bangga walaupun sudah mencapai 40 tahun tetapi pasar tani kekal diminati oleh pengguna, malah walaupun ada persaingan dengan pasar raya serta bisnes baharu, pasar tani tetap ada peminatnya yang tersendiri dan terus bertahan sehingga kini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas program Sambutan Ulang Tahun Pasar Tani Ke-40 dan Tahun Baru Cina di pasar tani Seksyen 17 di sini, pada Khamis.
Hadir sama, Pengarah Fama Negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Isa Hamzah; Pengarah Bahagian Institusi Pasaran Fama Ibu Pejabat, Sharizan Mansor; Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chen Chung serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Gasing, Rajiv Risyakaran.
Mengulas lanjut, Abdul Rashid turut mengakui bahawa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan ketika Covid-19 memberi impak besar sehingga sebahagian usahawan terpaksa meninggalkan perniagaan pasar tani.
Beliau berkata, pihaknya turut menjangkakan dalam 10 hingga 14 pasar tani harian baharu akan dibuka.
"Sebenarnya telah berlaku revolusi yang mana kami sudah ada 42 pasar tani kekal di bangunan tetap.
"Objektif utama pasar tani ini ialah memberi peluang kepada peniaga dan juga petani menjual terus hasil keluaran mereka kepada pengguna kerana kita cuba mengurangkan kebergantungan petani kepada orang tengah.
"Ini salah satu tujuan supaya mereka mendapatkan keuntungan maksimum. Kalau tak, sebahagian keuntungan diambil oleh orang tengah," ujarnya.

Dalam pada itu, Chen Chung turut menzahirkan penghargaan kepada FAMA yang kekal teguh walaupun menghadapi cabaran-cabaran tertentu.
"Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada FAMA yang sekarang telah menyambut ulang tahun ke-40.
"Kita semua sedar aspirasi ini tercetus juga daripada Perdana Menteri yang melihat ada keperluan untuk menghubungkan petani dengan pengguna secara langsung.
"Ini memberi impak besar supaya kehidupan petani boleh meningkat dan pada masa sama juga, pengguna mendapat hasil segar. Saya harap Petaling Jaya dapat menjadi bandar yang memusat.
"Pasar tani ini adalah platform untuk petani dan peladang menjual hasil mereka kepada pusat ekonomi seperti Petaling Jaya dan terus menjana sinergi antara desa dengan bandar," ulasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
