KPM sasar sesi persekolahan satu sesi pada 2030

KLUANG - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyasarkan semua sekolah di negara ini dapat melaksanakan sepenuhnya sistem persekolahan satu sesi pada tahun 2030.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, sehingga kini hanya kira-kira 1,000 buah daripada 10,000 buah sekolah yang masih belum melaksanakan sistem satu sesi berikutan pelbagai isu berbangkit dihadapi termasuk kepadatan murid di sekolah berkenaan.
Menurut beliau, pembinaan sekolah baharu juga akan mempengaruhi penyelesaian bagi pelaksanaan sekolah satu sesi namun kerajaan sudah pun menetapkan sasaran pembangunan sekolah-sekolah baharu selain baik pulih sekolah daif.
"Sebenarnya perkembangan pendidikan di negara ini bergerak sangat baik dan ada 9,000 lebih telah pun mencapai hasrat kita untuk satu sesi daripada lebih 10,000 yang masih lagi kita perlu uruskan.
"Namun KPM juga perlu mengambil kira beberapa faktor kekangan soal tempat, premis dan pengurusan-pengurusan sekolah itu sendiri," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam program INTAN Minister's Conversation (IMC) di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Wilayah Selatan di sini, pada Khamis.
Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembagunan) Datuk Dr Anesee Ibrahim dan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Azman Adnan.
Pada 6 Disember tahun lalu, sebanyak 1,238 sekolah atau 12.1 peratus dilaporkan masih lagi beroperasi secara dua sesi melibatkan 649 sekolah rendah dan 589 sekolah menengah di seluruh negara.
Kementerian Pendidikan memaklumkan, pengoperasian dua sesi itu dilaksanakan kerana prasarana sekolah yang tidak dapat menampung pertambahan murid akibat pembinaan kawasan perumahan baharu dan permintaan tinggi oleh penduduk.
Mengulas tentang hukuman rotan kepada pelajar yang melakukan kesalahan di sekolah, Fadhlina berkata, ia merupakan kuasa guru besar atau pengetua serta guru disiplin sahaja dan sudah ada garis panduan tentang hukuman rotan ini yang begitu jelas.
Ujarnya, garis panduan ini sudah lama dan ia sepatutnya menjadi sebahagian daripada tanggungjawab yang memang dihadkan kepada mereka yang tertentu sahaja.
"Ia melalui proses yang panjang sebelum perlaksanaan hukuman rotan ini, ia adalah pendirian KPM ketika ini dan hanya dua peringkat sahaja diberikan kebenaran untuk melaksanakan hukuman rotan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

