Malaysia tolak cadangan pemindahan, pengusiran rakyat Palestin

Demonstrasi di Surabaya, Indonesia sebagai sokongan kepada rakyat Palestin baru-baru ini. Foto AFP
Demonstrasi di Surabaya, Indonesia sebagai sokongan kepada rakyat Palestin baru-baru ini. Foto AFP
A
A
A

PUTRAJAYA - Malaysia menolak sebarang cadangan yang boleh membawa kepada pemindahan atau pengusiran secara paksa rakyat Palestin dari tanah air mereka.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Luar Negeri (KLN), Malaysia menegaskan tindakan tidak berperikemanusiaan seperti itu merupakan pembersihan etnik yang jelas melanggar prinsip undang-undang antarabangsa serta pelbagai resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

"Sebarang usaha untuk mengenakan penyelesaian secara sebelah pihak dan paksa yang menafikan hak rakyat Palestin adalah tidak boleh diterima, tidak dapat dipertahankan dan hanya akan memperburuk salah satu konflik paling berpanjangan di rantau ini," katanya pada Khamis.

Negara ini berpendapat, satu-satunya jalan penyelesaian yang adil dan berkekalan bagi mencapai keamanan dan kestabilan di Asia Barat adalah melalui penubuhan Negara Palestin yang merdeka dan berdaulat, berdasarkan sempadan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.

"Pendekatan ini kekal sebagai pendirian prinsip Malaysia dan sejajar dengan sokongan jangka panjang masyarakat antarabangsa terhadap penyelesaian dua negara," jelas KLN.

Sehubungan itu, Malaysia menegaskan agar semua negara yang masih belum menyokong penyelesaian dua negara segera mengambil langkah untuk mengiktiraf Negara Palestin dan menyokong keanggotaan penuhnya PBB.

"Ini merupakan langkah penting pertama ke arah memastikan keselamatan dan keamanan jangka panjang bagi rakyat Palestin serta kestabilan rantau Timur Tengah.

"Malaysia juga menegaskan sokongannya terhadap usaha diplomatik dan multilateralisme, termasuk inisiatif yang sedang digerakkan oleh Global Alliance dan The Hague Group, dalam memastikan keamanan berkekalan melalui penubuhan Negara Palestin yang merdeka dan berdaulat," katanya.

Terdahulu Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mencadangkan satu visi untuk mengambil alih Semenanjung Gaza dengan menjadikan wilayah itu sebagai 'Riviera Asia Barat'.

Artikel Berkaitan:

"Riviera Asia Barat. Ini boleh menjadi sesuatu yang sangat luar biasa," kata Trump dalam sidang akhbar bersama Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.

Trump mendakwa semua orang yang membincangkan isu Gaza menyukai idea AS memiliki tanah itu, membangunkannya dan mencipta ribuan pekerjaan dengan sesuatu yang akan menjadi luar biasa.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!