Pesakit maut, pakar bedah tersilap buang organ

William bersama isterinya, Beverly sebelum meninggal dunia gara-gara kesilapan ketika prosedur pembedahan. Kredit foto/ Zarzaur Law.
William bersama isterinya, Beverly sebelum meninggal dunia gara-gara kesilapan ketika prosedur pembedahan. Kredit foto/ Zarzaur Law.
A
A
A

WASHINGTON - Seorang pakar bedah di Amerika Syarikat (AS) digantung kerja selepas didakwa cuba menutup kematian pesakit William Bryan, 70.

Memetik laporan Metro UK, Dr Thomas Shaknovsky tersilap mengeluarkan hati William dan bukannya limpa ketika prosedur pembedahan di Hospital Ascension Sacred Heart Emerald Coast, Florida.

Keluarga William turut mendakwa jururawat hospital berkenaan cuba menutup kesilapan Shaknovsky dengan menulis maklumat palsu pada sijil kematian dan dokumen lain.

Susulan itu, keluarga memfailkan tuntutan saman pada minggu lalu dengan menyatakan bahawa empat jururawat sengaja menulis punca kematian yang salah pada Ogos tahun lepas.

Isterinya, Beverley mendakwa, William adalah ‘mangsa pembunuhan di bilik bedah’.

Berdasarkan rekod, William yang berasal dari Alabama tinggal di rumah sewa bersama Beverley dan mengadu sakit pada bahagian kiri badannya.

Bagaimanapun, William sempat menolak untuk menjalani prosedur pembedahan dan hanya ingin mendapatkan rawatan di rumah, namun kesakitan yang dialami semakin memburuk membuatkan dia bersetuju dimasukkan ke hospital.

Kata peguam, Joe Zarzaur, pihaknya sedang menuntut keadilan kerana tragedi yang menimpa William tidak logik.

"Kehilangan yang menyayat hati ini telah menghancurkan keluarga William.

Artikel Berkaitan:

“Kami sedang menuntut keadilan untuk tragedi yang tidak masuk akal ini," ujarnya.

Difahamkan, lesen Shaknovsky digantung pada November lepas oleh Pakar Bedah Negara, Joseph Ladapo.

Ia disebabkan kesilapan pembedahan teruk berulang yang mengakibatkan kecederaan ketara kepada William dan pesakit lain.

GenesisCare USA dari Florida yang dinamakan dalam saman itu tidak mengulas lanjut mengenainya, tetapi memberitahu McClatchy News bahawa doa dan sokongan mereka tetap bersama keluarga.

Keluarga William menuntut lebih AS$150,000 (RM630,000) sebagai ganti rugi untuk perbelanjaan perubatan, pengebumian, penderitaan mental dan kehilangan persahabatan serta perlindungan.

Dalam pembedahan lain, Shaknovsky dipercayai pernah tersilap membuang pankreas pesakit menurut perintah penggantungan kecemasan.

Menerusi prosedur berasingan pada 2023 pula, seorang lagi pesakitnya meninggal dunia.

Tuntutan itu difailkan hampir setahun selepas seorang doktor di Connecticut disaman kerana didakwa membunuh bayi menggunakan vakum 15 kali ketika bersalin sebagai alternatif mempercepatkan kelahiran.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!