Pembantu rumah tarik balik dakwaan rogol terhadap Paul Yong

Paul Yong bersama isteri tiba di Mahkamah Tinggi Ipoh pada Rabu bagi mendengar bukti baharu berkaitan kesnya.
Paul Yong bersama isteri tiba di Mahkamah Tinggi Ipoh pada Rabu bagi mendengar bukti baharu berkaitan kesnya.
A
A
A

IPOH - [DIKEMAS KINI] Mahkamah Tinggi Ipoh pada Rabu diberitahu bahawa pembantu rumah yang dikaitkan dengan kes rogol melibatkan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong, enam tahun lalu telah memberi keterangan palsu.

Perkara itu dinyatakan wanita berusia 24 tahun itu kepada Pathurrahman, 58, yang merupakan saksi pembelaan tambahan dan peguam dari Alas Kabupaten Sumbawa, Indonesia.

Pathurrahman, 58, yang merupakan saksi pembelaan tambahan dan peguam dari Alas Kabupaten Sumbawa, Indonesia hadir memberi keterangan berkaitan kes rogol Paul Yong di Mahkamah Tinggi Ipoh pada Rabu.
Pathurrahman, 58, yang merupakan saksi pembelaan tambahan dan peguam dari Alas Kabupaten Sumbawa, Indonesia hadir memberi keterangan berkaitan kes rogol Paul Yong di Mahkamah Tinggi Ipoh pada Rabu.

Pathurrahman berkata, mangsa membuat pengakuan bahawa dia telah memberi keterangan palsu dan berhasrat untuk menarik kembali keterangan tersebut.

"Pada tanggal 20 Mei 2024, wanita itu telah datang ke pejabat saya untuk mendapat nasihat undang-undang dan menceritakan kepada saya bahawa dia bekerja sebagai seorang pembantu rumah yang mana dia telah membuat aduan terhadap Choo Kiong bahawa dia telah dirogol olehnya.

"Dia kemudian telah membuat pengakuan bahawa dia telah memberi keterangan palsu terhadap Choo Kiong dan kini beliau berhasrat untuk menarik balik keterangan tersebut dan alasan dia memberi keterangan palsu adalah kerana hendak pulang ke rumahnya di Indonesia.

"Saya telah menasihati bahawa memberi satu keterangan yang palsu merupakan satu kesalahan yang serius. Saya selanjutnya telah menasihati bahawa dia berhak untuk menarik balik keterangannya di mahkamah dan adalah lebih baik bercakap benar daripada seseorang yang tidak bersalah disabitkan kesalahan secara tidak adil.

"Setelah mendengar nasihat saya tanpa paksaan atau intimidasi, dia telah bercadang untuk menarik balik keterangannya di Malaysia dan saya telah diarahkan untuk menyediakan satu surat pernyataan berkaitan dengan perkara di atas," katanya menerusi penyataan bertulis yang dibacakan oleh jurubahasa dalam bahasa Indonesia di hadapan Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed.

Pathurrahman berkata, melalui surat penyataan yang disediakan pada 21 Mei 2024 itu, mangsa memaklumkan terikat kontrak kerja selama tiga tahun dan telah bekerja di rumah keluarga Choo Kiong dari 7 Mei 2019.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, mangsa yang kini bekerja sebagai petani turut menyatakan rasa kesal dan memohon maaf atas keterangan tidak benar yang disampaikan semasa perbicaraan Mahkamah Sesyen di Malaysia.

“Saya ingin memutus kontrak kerja sebelum waktunya tetapi dilarang oleh keluarga Choo Kiong sehingga harus mencari alasan yang tepat.

"Setelah saya berkonsultasi dengan pengacara saya Bapak Pathurrahman tentang keinginan saya untuk mencabut keterangan sebelumnya, pengacara saya mendukung dan memberi nasihat bahwa mencabut keterangan adalah hak setiap orang.

"Berdasarkan hal-hal yang terurai di atas, dengan kesadaran penuh dan tanpa paksaan atau intimidasi dari pihak manapun, dengan ini mencabut keterangan yang pernah saya sampaikan di pengadilan Mahkamah Sesyen Malaysia tentang pemerkosaan yang dilakukan oleh Choo Kiong sekali gus menyatakan segala keterangan yang saya berikan tidak berlaku dan tidak dapat dipergunakan untuk menuntut atau melawan Choo Kiong," katanya ketika membacakan surat penyataan bekas amah itu yang turut mendapat pengesahan oleh notari awam di Indonesia pada 22 Mei 2024.

Mahkamah kemudian menetapkan 7 Mac depan untuk menyediakan pandangan berhubung bukti baharu yang dikemukakan pihak pembelaan yang mana laporan itu akan dihantar ke Mahkamah Persekutuan untuk digunakan ketika rayuan.

Pada prosiding yang berlangsung hampir dua jam itu, pasukan pembelaan diwakili peguam-peguam bela, Datuk Hisyam Teh Poh Teik, Datuk Rajpal Singh, Salim Bashir dan Low Wei Loke.

Pihak pendakwaan pula dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Perak, Muhammad Zaki Abdul Kudos bersama Timbalan Pendakwa Raya, Liyana Zawani Mohd Radzi, Nasrul Hadi Abdul Ghani dan Qurratu'aini Khalifah.

Mahkamah Persekutuan sebelum ini membenarkan permohonan bekas wakil rakyat DAP berusia 54 tahun itu untuk mengemukakan bukti tambahan dalam rayuannya terhadap sabitan kes merogol pembantu rumahnya.

Panel tiga hakim diketuai Tan Sri Harmindar Singh Dhaliwal membenarkan lima dokumen diterima sebagai bukti tambahan dengan menyifatkannya penting kerana ia kelihatan menunjukkan bahawa mangsa mungkin telah memberikan keterangan yang tidak benar semasa perbicaraan terhadap Paul Yong.

Pada 1 Mac lalu, Mahkamah Rayuan dalam keputusan 2-1 mengekalkan sabitan salah terhadap Choo Kiong namun meminda hukuman 13 tahun kepada lapan tahun dan hukuman sebat dua kali dikekalkan.

Pada 27 Julai 2022, Mahkamah Tinggi Ipoh mendapati Choo Kiong yang juga bekas Exco Kerajaan Perak bersalah merogol pembantu rumah warga Indonesia di dalam bilik rumahnya di Ipoh antara jam 8.15 malam dan 9.15 malam pada 7 Julai 2019.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!