Keadaan ibu Zayn Rayyan kosong, tiada reaksi, kata pegawai penyiasat

A
A
A

PETALING JAYA - [DIKEMAS KINI] Pegawai Penyiasat bagi kes Zayn Rayyan Abdul Matin yang ditemukan mati dua tahun lalu memaklumkan bahawa pengadu, Ismanira Abdul Manaf kelihatan kosong sewaktu proses rakaman percakapan berlangsung.

Menjelaskan kepada Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, Inspektor Nina Syamimi Syamsuddin berkata, maksud kosong itu adalah tiada sebarang reaksi daripada pengadu yang juga ibu kepada kanak-kanak autistik berkenaan pada ketika itu.

"Semasa rakaman percakapan di ambil saya ada bertanyakan beberapa soalan dan pengadu tidak dapat menjawab," katanya pada Rabu.

Pencarian Zayn Rayyan oleh K9 Pulapol Kuala Lumpur tidak berhasil selepas berlaku hujan di kawasan kejadian.
Pencarian Zayn Rayyan oleh K9 Pulapol Kuala Lumpur tidak berhasil selepas berlaku hujan di kawasan kejadian.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Timbalan Pendakwa Raya Aqharie Durranie Aziz mengenai keadaan Ismanira ketika proses mengambil percakapan berlaku di lokasi.

Terdahulu, prosiding perbicaraan kes pengabaian Zayn Rayyan pada hari ketiga terhenti kira-kira tiga minit selepas Nina Syamimi, 33, kelihatan sebak lalu menangis di kandang saksi.

Nina Syamimi yang merupakan saksi pendakwaan keempat kelihatan menyapu air mata dengan sehelai tisu sebelum meneruskan perbicaraan.

Beliau turut memaklumkan suami Ismanira, Zaim Ikhwan Zahari meninggikan suara terhadapnya sewaktu dalam perbualan di telefon selepas pasangan itu bertegas mahu proses merakamkan percakapan dilakukan di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya.

Artikel Berkaitan:

"Sewaktu dalam perjalanan pulang ke pejabat dari Hospital Sungai Buloh, saya menerima panggilan daripada Ketua Blok Pangsapuri Idaman Damansara Damai, Petaling Jaya yang memaklumkan ada kanak-kanak ternampak kelibat mangsa di blok berkenaan.

"Selepas terima maklumat tersebut saya terus hubungi pengadu semula dan memaklumkan kepadanya untuk pulang ke rumah berjumpa dengan ketua blok.

"Pengadu berkeras untuk berjumpa dengan saya terlebih dahulu di pejabat dan kemudian saya bercakap dengan suami pengadu, Zaim Ikhwan.

"Suami pengadu telah meninggikan suara untuk berjumpa dengan saya di pejabat dahulu," katanya.

Ketika ditanya bagaimana beliau mengetahui lelaki berkenaan adalah suami kepada pengadu, Nina Syamimi memberitahu beliau diperkenalkan lelaki itu sebagai suami Ismanira.

Tambahnya lagi, tujuan beliau meminta pengadu pulang kerana mahu Ismanira dan suaminya membuat pengecaman susulan maklumat yang diterima daripada ketua blok.

"Saya anggarkan mangsa pada ketika itu berkeliaran di Blok R, sebab itu saya minta pengadu pulang dahulu untuk membuat pengecaman," ujar beliau.

Selepas itu, beliau dan pasukannya tiba di pekarangan pangsapuri berkenaan sekitar jam 7 malam pada 5 Disember 2023.

"Saya merakamkan keterangan pengadu mengenai kehilangan Zayn Rayyan dan meminta Ismanira menandatangani borang persetujuan untuk membuat hebahan Nur Alerts," katanya.

Aqharie kemudiannya menyoal Nina Syamimi berhubung tindakan pegawai polis berkenaan merakam percakapan di lokasi.

Aqharie: Kenapa puan ambil percakapan pengadu di tempat kejadian?

Nina Syamimi: Untuk melihat tempat kejadian dan setelah ke lokasi saya dapati bersebelahan Blok R Pangsapuri Idaman terdapat saluran air longkang, belukar dan semak samun.

Aqharie: Selepas selesai mengambil percakapan, apa tindakan puan selanjutnya?

Nina Syamimi: Saya menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan Jenayah ASP Nor Zaharuddin Sanip yang bertugas pada hari itu untuk memaklumkan berkenaan tempat kejadian yang telah saya lawati selain meminta pandangan tindakan selanjutnya.

Selepas itu, ASP Nor Zaharudin mengarahkan saya menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan beliau juga meminta bantuan Unit Anjing Pengesan (K9) Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur.

JBPM tiba sekitar jam 9 malam dan berpecah kepada dua kumpulan yang terdiri daripada lapan anggota serta memulakan pencarian ke kawasan kebun di bahagian hulu iaitu atas dan hilir di bahagian bawah.

Nina Syamimi memaklumkan, kawasan pencarian adalah sekitar radius 700 meter.

Prosiding di hadapan Hakim Dr Syahliza Warnoh ditangguhkan dan bersambung pada Khamis.

Pada 13 Jun 2024, Zaim Ikhwan dan Ismanira, kedua-duanya berumur 30 tahun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan mengabaikan Zayn Rayyan, 6, dengan cara kemungkinan menyebabkan kecederaan fizikal terhadapnya di sekitar jalan PJU Damansara Damai di sini pada 12 tengah hari, 5 Disember hingga 9.55 malam, 6 Disember 2023.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31 (1) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada 6 Disember 2023, mayat Zayn Rayyan ditemukan di aliran anak sungai berhampiran rumahnya di Pangsapuri Idaman, Damansara Damai dekat sini, selepas dilaporkan hilang sehari sebelumnya.

Kanak-kanak itu dipercayai dibunuh apabila hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher serta badannya akibat mempertahankan diri.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!