Kes Zayn Rayyan: Jurugambar tidak ambil gambar pisau, gunting di lokasi kejadian

PETALING JAYA – Saksi kedua dalam perbicaraan pengabaian kanak-kanak autism, Zayn Rayyan Abdul Matin memberitahu Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa bahawa pihaknya tidak mengambil gambar membabitkan 14 pisau dan enam gunting di lokasi kejadian.
Jurugambar dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya Koperal, Sulaimen Razak berkata demikian ketika sesi pemeriksaan balas oleh peguam, Haresh Mahadevan yang mewakili Zaim Ikhwan Zahari, 30 dan isterinya, Ismanira Abdul Manaf, 30.
Sulaimen, 42, juga berkata, pihak polis tidak mengambil gambar tiga tali yang dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisa.
Peguam: Mengikut laporan kimia, 14 pisau telah dirampas oleh pihak polis dan dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisa, berapa gambar pisau telah diambil?
Sulaimen: Tiada satu pun.
Peguam: Terdapat enam gunting dihantar untuk tujuan analisa, berapa gambar gunting diambil?
Sulaimen: Tiada gambar gunting diambil.
Haresh: Tiga tali, adakah gambar itu telah diambil?
Sulaimen: Tiada gambar tali.
Bagaimanapun saksi ini berkata, gambar bagi dua daripada enam stoking yang dihantar untuk dianalisa, telah dirakam.
Sementara itu, ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya, Kamarul Iman Ahmad Sapian, saksi ini berkata, pengawai penyiasat kanan Assistant Superintendant Police (ASP), Mohd Hafizee Ismail mengarahkannya untuk mengambil gambar di lokasi pada jam 10 malam di lokasi berkenaan.
Katanya, ia membabitkan kes penemuan mayat orang hilang (OH) iaitu seorang kanak-kanak lelaki, di tepi tebing laluan anak sungai berhampiran takungan air,
berdekatan Blok R Apartment Idaman, Damansara Damai.
Menurutnya, terdapat kecederaan di telinga kiri dan tangan kanan pada mayat kanak-kanak malang itu.
“Pada 6 Disember 2023, saya menerima arahan daripada ASP Mohd Hafizee supaya mengambil gambar tempat kejadian OH.
“Lima hari kemudian, saya menerima arahan sekali lagi supaya mengambil gambar tempat kejadian bersama pasukan forensic, pada jam 12 tengah malam.
"Gambar itu menunjukkan mangsa dijumpai, berserta lencana sekolah pada poket kiri pakaian mangsa," katanya yang mula bertugas sebagai jurugambar jenayah sejak tahun 2013 hingga kini.
Dalam prosiding perbicaraan hari kedua, saksi ini tidak mengesahkan mayat kanak-kanak berusia enam tahun, yang ditemui itu merupakan mangsa yang hilang dikenali sebagai Zayn Rayyan.
Pada 13 Jun tahun lalu, pasangan suami isteri itu, mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan, bersama-sama sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka, Zayn Rayyan, 6, telah mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.
Kesalahan didakwa dilakukan di sekitar jalan PJU Damansara Damai di sini pada jam 12 tengah hari, 5 Disember 2023 hingga keesokkannya, jam 9.55 malam.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum bawah Seksyen 31(1) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pada 6 Disember 2023, Zayn Rayyan ditemukan meninggal dunia di anak sungai, berhampiran kawasan Apartmen Idaman, Damansara Damai pada jam 10 malam.
Mangsa sebelum ini dilaporkan hilang, sebelum ditemui terbaring, dengan jarak kira-kira 200meter dari blok kediamannya.
Perbicaraan di hadapan Hakim, Dr Syahliza Warnoh bersambung Rabu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!