Tapak perkuburan Islam di Johor Bahru, Kluang berdepan kepadatan

Mohd Fared (duduk, empat dari kiri) dan Mohd Jafni bergambar selepas Majlis Penyerahan Projek Pembangunan Tapak Perkuburan Islam Bandar Putra Kulai, Johor, pada Rabu.
Mohd Fared (duduk, empat dari kiri) dan Mohd Jafni bergambar selepas Majlis Penyerahan Projek Pembangunan Tapak Perkuburan Islam Bandar Putra Kulai, Johor, pada Rabu.
A
A
A

KULAI - [DIKEMAS KINI] Tapak perkuburan Islam di daerah Johor Bahru dan Kluang kini disahkan sedang berdepan isu kepadatan.

Exco Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) kini dalam usaha membangunkan tapak baharu di daerah terlibat dan akan memastikan ia segera disiapkan.

"Daerah lain belum ada masalah kepadatan kritikal tetapi di Kluang contohnya, kini mempunyai kapasiti terhad dan pembukaan tanah perkuburan Padang Tembak boleh digunakan. Bagaimanapun, ia masih memerlukan peruntukan tambahan untuk dibangunkan.

Mohd Fared
Mohd Fared

"Jika di Johor Baharu pula, di kawasan Danga Bay sudah hampir penuh dan kita sedang dalam usaha untuk membuka (tapak perkuburan) baharu yang akan memberikan kelegaan kepada penduduk setempat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Projek Pembangunan Tapak Perkuburan Islam Bandar Putra di sini pada Rabu.

Hadir sama, Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Permai, Datuk Mohd Jafni Md Shukor dan Pegawai Eksekutif MAINJ, Hasrin Kamal Hashim.

Mengulas lanjut, Mohd Fared berkata, setiap kawasan perumahan dan pembangunan diwajibkan untuk mempunyai tapak bagi tanah perkuburan kerana ia merupakan satu keperluan yang mendesak serta perlu diutamakan.

Artikel Berkaitan:

"Jika kita mahu negeri maju tapi kita lupa tentang keperluan utama seperti tanah perkuburan. Ada lagi beberapa kawasan pembangunan pesat yang belum ditentukan tapak perkuburan, contohnya di kawasan Kota Iskandar.

"Apabila kawasan terbabit membangun dengan pesat, hendak cari tapak kubur pun susah. Jadi, sebelum perkara ini berpanjangan, eloklah kita bersiap sedia," ujarnya.

Menurut ADUN Semerah itu, kemudahan dan keperluan di tapak perkuburan seluruh negeri perlu diselaraskan agar tiada pembaziran berlaku dalam memanfaatkan peruntukan yang disediakan kerajaan.

Dalam pada itu beliau memaklumkan, Tabung Pengurusan Tanah Perkuburan Islam Negeri Johor masih memerlukan sumbangan daripada pelbagai pihak untuk memastikan penambahbaikan dapat dilaksanakan.

"Pada 2024, kita hanya berbelanja sebanyak RM2.18 juta di seluruh Johor. Ia merupakan jumlah yang kecil. Tahun ini, kita memerlukan (dana) tambahan RM3 juta sekurang-kurangnya, untuk menyelia 59 permohonan yang kita kendalikan.

"Semoga dengan sokongan dan dukungan semua pihak, Tabung Pengurusan Tanah Perkuburan Islam Negeri Johor dapat terus membantu pengurusan dan pembangunan tanah perkuburan di seluruh kariah dalam Johor," tambahnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!