Semua prosedur Lembaga Pengampunan dipatuhi - Azalina

Laporan Sinar Harian pada 12 Januari lalu. Gambar kecil: Azalina
Laporan Sinar Harian pada 12 Januari lalu. Gambar kecil: Azalina
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan menegaskan bahawa semua prosedur dan urusan oleh Lembaga Pengampunan adalah mengikut Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang sedia ada.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang Dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, Perkara 42 (1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Yang di-Pertuan Agong, Raja atau Yang di-Pertua Negeri mempunyai kuasa untuk memberi ampun, tunda hukuman atau lega hukuman.

Menurutnya, kuasa Seri Paduka Baginda adalah bagi kesemua kes dan kesalahan yang dilakukan di kawasan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

“Bagi kes-kes dan kesalahan yang dilakukan di negeri-negeri lain, kuasa pengampunan adalah di bawah Raja, Sultan atau Yang di-Pertua Negeri masing-masing.

“Selepas Mesyuarat Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya bersidang, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU, JPM) selaku urusetia Mesyuarat Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya akan mengemukakan salinan perintah yang telah diluluskan oleh Peguam Negara kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) untuk ditandatangani.

“Seterusnya perintah tersebut akan dikemukakan kepada Istana Negara untuk perkenan Yang di-Pertuan Agong.

“Akhirnya, salinan perintah yang diperkenan oleh Agong akan dikemukakan kepada Menteri Wilayah Persekutuan, Peguam Negara dan seterusnya kepada Jabatan Penjara Malaysia untuk melaksanakan perintah tersebut,” katanya melalui jawapan bertulis Dewan Rakyat yang disiarkan di laman web Parlimen pada Rabu.

Beliau menjawab soalan Datuk Mohd Suhaimi Abdullah (PN-Langkawi) yang bertanyakan prosedur dan proses untuk kerajaan melaksanakan titah daripada Yang di-Pertuan Agong, khususnya membabitkan Lembaga Pengampunan serta langkah yang diambil untuk memastikan tiada titah yang disorok daripada pengetahuan umum.

Pada 11 Januari lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kerajaan tidak pernah menyorok Titah Adendum untuk membenarkan Datuk Seri Najib Tun Razak menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.

Artikel Berkaitan:

Sebaliknya Anwar berkata, beliau antara individu awal membawa perkara tersebut di dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan berserta alasan-alasan pengampunan.

Menurut Anwar, pendirian beliau sebelum ini yang tidak mengulas isu tersebut kerana perkara berkenaan melibatkan Institusi Diraja.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!