Malaysia perlu hati-hati elak hilang pelabur kepada Vietnam, Indonesia

SHAH ALAM - Malaysia perlu berhati-hati dalam menaikkan kadar tarif elektrik bagi mengelakkan Pelaburan Langsung Asing (FDI) terkesan, sekali gus kehilangan pelabur berpotensi.
Ketua Kluster Mikroekonomi, Pusat Kajian Pembangunan Inklusif dan Lestari Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Mustazar Mansur berkata, kerajaan perlu menyediakan persekitaran dan kemudahan yang kondusif atau berdepan risiko untuk kalah dengan negara yang lebih kompetitif seperti Vietnam dan Indonesia.
Menurutnya, kedua-dua negara berkenaan bukan sahaja sama strategik dengan Malaysia kerana berada di tengah kawasan laluan antarabangsa antara Timur dan Barat, tetapi mempunyai kelebihan daripada segi populasi buruh yang menyebabkan relatif upahnya lebih rendah.
“Sebelum melabur, mereka akan buat analisis faedah kos berdasarkan kepada potensi yang ada di sekitar Malaysia dan ASEAN. Kalau lihat perbandingan daripada segi tarif elektrik misalnya, Vietnam mempunyai kelebihan sebab kadar yang dikenakan kepada syarikat di negara itu lebih rendah berbanding dengan Malaysia.
“Bagaimanapun, daripada segi harga petrol, sebaliknya berlaku. Jadi, jika kerajaan nak memastikan FDI tidak terkesan, mungkin boleh melihat kepada pemberian insentif yang menarik sebagaimana yang kita lakukan sekarang kepada syarikat yang membawa teknologi dan memberi banyak peluang pekerjaan.
“Apa yang penting ialah perlunya koordinasi antara MITI (Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri), Kementerian Kewangan dan Petra (Kementerian Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air) kerana sebarang keputusan yang dibuat akan memberikan kesan jangka panjang kepada pelaburan dan pasaran pelaburan asing kita,” katanya.
Tambah Mustazar, Indonesia misalnya, kini sedang mengejar Malaysia daripada aspek kemahiran dan pendidikan serta mempunyai potensi yang besar seperti China dan India.
“China dan India maju disebabkan kelebihan seperti populasi yang ramai untuk penawaran iaitu buruh menyebabkan relatif upahnya lebih rendah. Kita bimbang suatu hari nanti, Indonesia mengejar.
“Sebab itu Amerika Syarikat menyekat Mexico, Brazil, Kanada dan China kerana mereka sudah kalah untuk mengatasi China dan India bagi perdagangan.
“Disebabkan itu, kita kena tawarkan inisiatif yang lebih baik tapi dalam masa sama kena ada tempoh masa tertentu. Jangan mudah bagi insentif seperti tak perlu bayar cukai dan tarif tinggi untuk tempoh 30 tahun misalnya kerana dalam soal ini, kita kena fikirkan situasi menang-menang,” jelasnya.
Justeru, beliau mencadangkan agar MITI dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) membuat perancangan teliti dan mengambil kira taraf perintis iaitu salah satu insentif dalam peruntukan Akta Penggalakan Pelaburan 1986 untuk perbincangan tentang kontrak-kontrak syarikat pelaburan asing.
Jelasnya, secara tidak langsung ia memberikan kelonggaran kepada pelabur untuk bertapak di Malaysia dengan kadar tarif yang istimewa.
@sinarharianonline Malaysia perlu berhati-hati dalam menaikkan kadar tarif elektrik bagi mengelakkan Pelaburan Langsung Asing (FDI) terkesan, sekali gus kehilangan pelabur berpotensi. Ketua Kluster Mikroekonomi, Pusat Kajian Pembangunan Inklusif dan Lestari Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Mustazar Mansur berkata, kerajaan perlu menyediakan persekitaran dan kemudahan yang kondusif atau berdepan risiko untuk kalah dengan negara yang lebih kompetitif seperti Vietnam dan Indonesia. Anda boleh baca berita penuh di portal Sinar Harian di www.sinarharian.com.my atau swipe up di IG story serta jangan lupa follow IG @sinarharian untuk berita terkini dalam dan luar negara. #SinarHarian #SinarTerkini #Pelabur #TarifElektrik
News, news, seriousness, tension(1077866) - Lyrebirds music
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

