Rakyat Malaysia di Kanada sedia boikot barang AS

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Rakyat Malaysia di Kanada sudah bersedia memboikot barang keluaran Amerika Syarikat (AS) yang berada di negara tersebut susulan perang tarif atau kenaikan cukai import.
Pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Sains Statistik, Matematik dan Sains Politik Universiti Toronto, Muhammad Hilmie Jalong Ahmad Khalil Lajan, 23, berkata, dia mendapat tahu berkenaan pemboikotan itu melalui rakan-rakannya di Kanada.

“Kerajaan ada beritahu untuk utamakan barang keluaran Kanada dan kawan-kawan juga nak boikot barang dari AS. Perkara ini sebenarnya merupakan persediaan mereka untuk menghadapi kenaikan harga barang.
“Bagi saya pula, sebagai rakyat Malaysia di sini kesannya agak besar kerana tarif dikenakan oleh AS akan meningkatkan kos hidup saya sebagai pelajar. Besar kemungkinan juga elaun yang saya dapat daripada penaja di Malaysia tidak akan mencukupi,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Sebelum ini, Kanada mengingatkan bahawa tarif 25 peratus ke atas produk negara itu bakal memberi kesan kepada sektor pekerjaan di AS khususnya industri pemasangan kenderaan dan pembuatan.
Presiden AS, Donald Trump pada Isnin bagaimanapun mengumumkan beliau menangguhkan tarif ke atas Kanada dan Mexico selepas berbincang dengan pemimpin kedua-dua negara hanya beberapa jam sebelum langkah itu dijadualkan berkuat kuasa.

Sementara itu, seorang lagi pelajar Malaysia yang belajar di negara tersebut, Raja Aisya Suraya Raja Selimin, 23, berkata, dia bimbang kenaikan tersebut kerana akan menjejaskan kos sara hidup terutama bagi pelajar antarabangsa yang menghadapi cabaran kewangan dengan kadar pertukaran mata wang serta yuran pengajian tinggi.
“Sebagai pelajar Malaysia di sini, kenaikan harga barang adalah isu yang amat membimbangkan bagi kami. Jadi, untuk menghadapi kenaikan harga barang akibat daripada perang perdagangan, saya akan lebih berhemah dalam berbelanja dan beri keutamaan kepada keperluan asas.
“Selain itu, mencari alternatif barangan tempatan atau dari negara lain yang tidak terjejas oleh tarif dengan menyokong produk buatan Kanada, bukan sahaja dapat mengelakkan harga barangan tinggi tetapi juga membantu pengeluar tempatan.
“Sekadar perkongsian, menariknya isu ini menjadi perbualan dalam kelas kami dan kebanyakan mereka memuji tindakan Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau yang turut mengenakan tarif 25 peratus ke atas produk AS. Ramai bercakap mengenai usaha kerajaan dalam mencari negara alternatif mengurangkan kebergantungan kepada AS,” ujarnya.
Tambah anak kelahiran Terengganu itu lagi, ada juga perbualan antara rakyat Kanada yang bimbang perang tarif tersebut boleh membawa kepada kesan jangka panjang terhadap barangan dan peluang pekerjaan.
Jelasnya, ramai berharap kerajaan Kanada dapat menemui jalan penyelesaian terbaik tanpa memburukkan hubungan perdagangan dengan AS termasuk menguruskan situasi yang berlaku agar rakyat dan ekonomi tidak terlalu terkesan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
