Tindakan boikot perlu ikut landasan betul, tak boleh halalkan yang haram

SHAH ALAM - Umat Islam tidak boleh menghalalkan perkara yang haram, namun tindakan boikot terhadap produk berkaitan rejim Zionis perlu mengikut landasan betul berdasarkan garis panduan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI).
Dekan Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Datuk Dr Mohd Izhar Ariff berkata, MKI telah memberi ketetapan sangat jelas kepada umat Islam sebelum bertindak memboikot mana-mana produk yang secara langsung menyokong rejim Zionis.
Bagaimanapun, beliau menegaskan sebarang tindakan boikot terhadap produk berkenaan adalah pilihan dan bukan satu kewajipan berdasarkan garis panduan MKI.
“Pertama, kita perlu memastikan bahawa ilmu tabayyun atau penyelidikan sangat penting sebelum membuat sebarang keputusan.
“Selain itu, kita tidak boleh menghalalkan perkara haram. Namun, amalan boikot perlu mempunyai landasan yang betul dan ia merupakan hak masing-masing,” katanya menerusi program Wacana Sinar bertajuk: 'Halal & Boikot: Antara Sederhana dengan Ekstrem’, di sini, pada Selasa.
Program disiarkan secara langsung bertempat di Auditorium Kompleks Kumpulan Karangkraf itu dihoskan oleh Ismail Adnan dan dibarisi dua panelis lain iaitu Pengerusi Majlis Syariah Pertubuhan IKRAM Malaysia, Burhanuddin Lukman serta Pensyarah Kanan Jabatan Syariah dan Pengurusan Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Dr Ahmad Sufian Che Abdullah.

Dalam pada itu, Mohd Izhar berpandangan bahawa masyarakat perlu berlapang dada dalam menerima mereka yang memilih untuk tidak menyertai kempen boikot terhadap produk dikaitkan dengan Israel.
"Bagi yang menolak, teruskan perjuangan. Namun, kita harus menghormati keputusan mereka yang memilih untuk tidak boikot kerana setiap individu mempunyai alasan atau pandangan tersendiri.
“Contohnya, kita tidak boleh menghalang anak-anak membeli produk A yang jelas mempunyai sijil halal hanya kerana boikot, sedangkan barangan tersebut tidak haram,” ujarnya.
Jelas Mohd Izhar, jika masyarakat ingin mengharamkan sumbangan langsung terhadap rejim Zionis, mereka perlu menghindari semua produk berkaitan Israel dan bukan sekadar sebahagian barang atau perkhidmatan sahaja.
“Konsep boikot ini jelas, tolak semuanya dan jangan ada yang berkecuali. Contohnya, rokok sudah lama diharamkan menurut fatwa, namun ramai yang masih tidak boikot.
“Seterusnya, masih ramai menggunakan (aplikasi media) Facebook yang dimiliki 100 peratus oleh taikun berbangsa Yahudi. Namun, kita perlu lihat balik kebaikannya kerana saya sendiri menggunakan platform itu untuk mencari dana masjid.
“Justeru, boikot ini perlu dikaji dengan mendalam. Apabila produk itu jelas menghina agama Islam, maka ia boleh dilaksanakan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
