Op Selamat 23: Penunggang, pembonceng motosikal korban paling tinggi

PETALING JAYA - [DIKEMAS KINI] Penunggang dan pembonceng motosikal masih direkodkan sebagai golongan mencatatkan angka korban tertinggi sepanjang Op Selamat 23 Tahun Baharu Cina, baru-baru ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, sepanjang operasi bermula 28 hingga 2 Februari lalu, sebanyak 7,882 kes kemalangan dilaporkan dengan penurunan 902 kes atau 10 peratus berbanding 8,784 kes dalam operasi sama tahun lalu.
"Jumlah kemalangan maut merekodkan penurunan dengan 64 kes berbanding 104 kes bagi tempoh sama tahun sebelumnya.
"Begitu juga jumlah kematian mencatatkan penurunan dengan 66 kematian," katanya ketika Majlis Apresiasi Op Selamat 23 Sempena Tahun Baharu Cina di Persada Plus di sini pada Selasa.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri; Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK), Datuk Wan Hassan Wan Ahmad dan Ketua Polis Perlis, Datuk Muhammad Abdul Halim.
Razarudin berkata, berdasarkan statistik jumlah kematian, penunggang dan pembonceng motosikal merekodkan 47 kematian.
Bagaimanapun, jelasnya, jumlah itu menunjukkan penurunan berbanding Op Selamat 21 yang merekodkan 82 kematian.
"Golongan ini (penunggang dan pembonceng motosikal) masih kekal mencatatkan angka korban tertinggi," ujarnya.
Dalam pada itu, Razarudin berkata, sepanjang Op Selamat 23, sebanyak 124,286 saman berbanding 183,033 saman pada Op Selamat 21.
"Jumlah ini menunjukkan penurunan dan jelas menggambarkan tahap kesedaran dan kefahaman masyarakat semakin baik terhadap peraturan dan undang-undang lalu lintas," katanya.

Katanya, terdapat peningkatan ketara aliran trafik di seluruh negara dengan 36.6 juta kenderaan sepanjang tempoh Op Selamat 23.
Selain itu, katanya, rondaan bersepadu pada Op Selamat menerusi elemen Unit Rondaan Bermotosikal (URB), kereta peronda polis (MPV), balai dan lain-lain berjaya memberi impak positif apabila hanya 202 kes jenayah pecah rumah direkodkan berbanding 265 kes dilaporkan tahun lalu dengan penurunan 63 kes.
"Tidak dilupakan penglibatan secara langsung Pasukan Gerakan Udara (PGU) khususnya Unit Dron yang turut sama berpadu tenaga dalam menyempurnakan operasi ini di seluruh negara," katanya.
Terdahulu, dalam majlis berkenaan, Razarudin menyampaikan Anugerah Kontinjen dan Daerah Terbaik Sepanjang Op Selamat 23.
Kategori kontinjen terbaik dimenangi Kontinjen Perlis, Kontinjen Terengganu (kedua) dan Kontinjen Kelantan di tangga ketiga.
Kategori daerah terbaik pula dijuarai Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub, IPD Dungun (kedua) dan ketiga dimenangi IPD Mersing.
Kontinjen Selangor dan Kontinjen Johor pula masing-masing memenangi kategori kontinjen penguatkuasaan tertinggi serta kategori kontinjen penurunan kadar kemalangan tertinggi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
