Op Selamat 23: Polis Perak keluar 7,746 saman, rekod 737 kes kemalangan

Advokasi kempen keselamatan jalan raya Op Selamat Sempena Tahun Baru Cina.
Advokasi kempen keselamatan jalan raya Op Selamat Sempena Tahun Baru Cina.
A
A
A

IPOH - Polis Perak mengeluarkan sebanyak 7,746 saman sepanjang tempoh Op Selamat 23 sempena Tahun Baharu Cina yang berakhir semalam.

Pemangku Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Zulkafli Sariaat berkata, saman dikeluarkan kepada pesalah trafik itu merangkumi pelbagai kesalahan termasuk enam kesalahan utama yang menjadi penyumbang utama kepada kemalangan jalan raya.

Menurutnya, enam kesalahan utama yang diberikan perhatian khusus sepanjang tempoh operasi bermula pada 28 Januari hingga 2 Februari itu melibatkan memandu melebihi had laju, memandu di lorong kecemasan, memotong di garisan berkembar, memotong barisan, tidak mematuhi lampu isyarat dan menggunakan alat telekomunikasi ketika memandu.

"Dalam tempoh tersebut sebanyak 737 kes kemalangan direkodkan termasuk tujuh kes kemalangan maut melibatkan lapan kematian.

"Selain itu tiga kes kemalangan parah, 20 kes kemalangan ringan serta 707 kes hanya melibatkan kerosakan sahaja.

"Kereta merupakan kenderaan yang mencatatkan kemalangan tertinggi iaitu 922 buah manakala motosikal pula tertinggi bagi kemalangan maut sebanyak enam buah," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Bagaimanapun, Zulkafli berkata, Ops Selamat kali ini menunjukkan penurunan sebanyak 127 kes bersamaan 15 peratus bagi kes kemalangan berbanding Op Selamat 21 yang mencatat 891 kes kemalangan.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut merakam penghargaan kepada orang ramai yang memberikan kerjasama kepada pihak polis dalam mematuhi undang-undang jalan raya sepanjang tempoh berkenaan.

Katanya, pengguna jalan raya juga dinasihatkan untuk terus mengamalkan pemanduan selamat dan berhemah sepanjang masa agar kes kemalangan dapat terus dikurangkan.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!