1.82 juta kenderaan penuhi lebuh raya hari terakhir Op Selamat 23

Mohd Yusri menyantuni orang ramai sempena Program Advokasi Op Selamat 23 Sempena Tahun Baharu Cina 2025 di Hentian Rehat dan Rawat Tapah (arah selatan) pada Ahad.
Mohd Yusri menyantuni orang ramai sempena Program Advokasi Op Selamat 23 Sempena Tahun Baharu Cina 2025 di Hentian Rehat dan Rawat Tapah (arah selatan) pada Ahad.
A
A
A

TAPAH - Trafik di lebuh raya utama terus meningkat pada hari terakhir Op Selamat 23 pada Ahad, dengan kira-kira 1.82 juta kenderaan dijangka berada di jalan raya.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, meskipun pertambahan itu mengakibatkan pergerakan kenderaan perlahan, aliran trafik di semua arah menghala ke ibu kota adalah lancar dan terkawal.

Menurutnya, JSPT telah mengambil langkah awal berkerjasama dengan pelbagai agensi untuk memastikan kelancaran trafik termasuk tindakan segera terhadap kes-kes kemalangan yang menghalang aliran trafik.

"Memang setiap tahun perayaan utama, lebuh raya akan hadapi kesesakan luar biasa. Sekarang ini pun kenderaan nampak semakin banyak pada skala 2 dan 3.

Mohd Yusri bersama sekumpulan penunggang motosikal yang berhenti di Hentian Rehat dan Rawat Tapah (arah selatan) sempena Program Advokasi Op Selamat 23 Sempena Tahun Baharu Cina 2025 pada Ahad.
Mohd Yusri bersama sekumpulan penunggang motosikal yang berhenti di Hentian Rehat dan Rawat Tapah (arah selatan) sempena Program Advokasi Op Selamat 23 Sempena Tahun Baharu Cina 2025 pada Ahad.

"Daripada kempen yang kita jalankan, kita dapati pengguna tahu bahawa kenderaan semakin bertambah dan perjalanan akan sedikit perlahan.

"Mereka sudah membuat perancangan perjalanan dari awal dan sudah bersedia menghadapai situasi yang telah dijangkakan ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena Program Advokasi Op Selamat 23 Sempena Tahun Baharu Cina 2025 di Hentian Rehat dan Rawat Tapah (arah selatan) di sini pada Ahad.

Hadir sama, Pemangku Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Zulkafli Sariaat.

Sementara itu, Mohd Yusri berkata, sebanyak 104,235 notis saman membabitkan pelbagai kesalahan telah dikeluarkan dalam tempoh lima hari Op Selamat yang bermula 28 Januari lalu sehingga Sabtu.

Katanya, jumlah itu menunjukkan penurunan 43 peratus berbanding 183,033 saman dalam Op Selamat 21, tahun lalu.

Menurut beliau, penguatkuasaan yang dilaksanakan sepanjang tempoh lima hari itu turut merekodkan 49,339 kesalahan dilakukan pengguna jalan raya terhadap enam kesalahan trafik utama.

Mohd Yusri turut menyantuni pemandu dan penumpang bas yang berhenti di Hentian Rehat dan Rawat Tapah (arah selatan) sempena Program Advokasi Op Selamat 23 Sempena Tahun Baharu Cina 2025 pada Ahad.
Mohd Yusri turut menyantuni pemandu dan penumpang bas yang berhenti di Hentian Rehat dan Rawat Tapah (arah selatan) sempena Program Advokasi Op Selamat 23 Sempena Tahun Baharu Cina 2025 pada Ahad.

"Pemanduan melebihi had laju merekodkan kesalahan paling tinggi dengan 44,940 saman.

"Diikuti kesalahan lampu isyarat sebanyak 2,034 kes, memandu menggunakan telefon bimbit (869), memandu di lorong kecemasan (602), memotong barisan (573) dan memotong di garisan berkembar (321)," katanya.

Beliau berkata, penurunan jumlah saman tersebut dilihat sebagai sesuatu yang positif menunjukkan kesedaran sikap orang ramai terhadap pematuhan peraturan serta undang-undang jalan raya.

"Kita akan buat kajian nanti adakah penurunan ini ada kaitan dengan perubahan sikap atau kempen-kempen advokasi yang dijalankan sebelum ini berjaya memberi pendedahan kepada pengguna," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!