Sultan Pahang cemar duli rai Tahun Baharu Cina bersama LBS

SHAH ALAM - Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mencemar duli ke Majlis Makan Tengah Hari Tahun Baharu Cina 2025 anjuran pemaju hartanah, LBS Bina Group Berhad (LBS).
Keberangkatan baginda diiringi Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah di sebuah hotel, di Kuala Lumpur.
Majlis yang melambangkan tradisi LBS di dalam memupuk perpaduan dan kesyukuran itu turut diserikan dengan kehadiran Yang Di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri (Dr.) Johari Abdul, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, Menteri Digital, Gobind Singh Deo, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Chan Foong Hin, dan Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching.
Pengerusi Eksekutif Kumpulan, Tan Sri Ir (Dr) Lim Hock San, berkata, hubungan erat yang telah terjalin sejak sekian lama di antara LBS dan Sultan Pahang, bermula sejak zaman ayahanda baginda.
“Terima kasih buat seluruh warga LBS atas sokongan berterusan dan komitmen mereka dalam memperkasakan syarikat.

“Sumbangan anda amat penting dalam kejayaan yang kita capai bersama. Kami akan terus menyediakan penyelesaian perumahan inovatif sambil mengekalkan nilai teras yang menjadi tunjang kekuatan LBS,”katanya.
Menurutnya, selain meraikan kemeriahan musim perayaan, LBS turut memperkenalkan Strategi 8 x 8, sebuah inisiatif yang menekankan komitmen syarikat untuk melancarkan rangkaian projek dengan jumlah Nilai Pembangunan Kasar (GDV) sekitar RM8 bilion.
“Strategi ini bertujuan mengukuhkan kedudukan LBS sebagai salah satu peneraju utama dalam industri perumahan. Matlamat ini dipacu oleh lapan fokus utama iaitu perumahan, industri dan komersial, pengoptimumkan bank tanah, usaha mencapai kecemerlangan, pemerkasaan pekerja, pengalaman pelanggan, kemajuan kelestarian dan kesejahteraan komuniti.
“Strategi 8 x 8 memberi tumpuan kepada meningkatkan kecekapan operasi, memperluaskan jangkauan pasaran, serta mengadaptasi teknologi pembinaan termaju bagi memenuhi keperluan perumahan negara yang semakin berkembang. Inisiatif ini akan terus memperkukuh kedudukan LBS sebagai peneraju pasaran serta menyediakan kestabilan untuk pertumbuhan mampan dalam tahun-tahun mendatang,”katanya.
Hock San berkata, Strategi 8 x 8 merupakan lakaran perancangan LBS dalam merealisasikan aspirasi sebagai peneraju utama dalam industri perumahan, serta mengekalkan komitmen teguh dalam menyediakan penyelesaian perumahan berkualiti tinggi dan mampu milik.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
