Malaysia sertai fasa kedua koridor kemanusiaan udara ke Gaza

Malaysia terus komited dalam usaha membantu rakyat Palestin apabila menyertai fasa kedua koridor kemanusiaan melalui udara ke Gaza yang diketuai Kerajaan Jordan. - Foto hiasan
Malaysia terus komited dalam usaha membantu rakyat Palestin apabila menyertai fasa kedua koridor kemanusiaan melalui udara ke Gaza yang diketuai Kerajaan Jordan. - Foto hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Malaysia terus komited dalam usaha membantu rakyat Palestin apabila menyertai fasa kedua koridor kemanusiaan melalui udara ke Gaza yang diketuai Kerajaan Jordan.

Wisma Putra dalam kenyataan berkata, penyertaan ini dikendalikan melalui Kedutaan Besar Malaysia di Amman dan disambut oleh Komander Pangkalan Udara Raja Abdullah II, Kolonel Plt Osama Al Khatib serta Tentera Udara Diraja Jordan.

Menurut kenyataan itu, Malaysia turut menyalurkan sumbangan berjumlah AS$5 juta melalui Tabung Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) kepada Kerajaan Jordan pada 18 Disember 2024.

“Dana tersebut digunakan bagi menyokong operasi koridor kemanusiaan udara ini. Malaysia sebelum ini turut terlibat dalam fasa pertama pada 28 Januari lalu.

"Koridor kemanusiaan melalui udara diketuai Raja Jordan, Raja Abdullah II, berlangsung sejak 28 Januari dan dijadual berakhir esok. Operasi ini membabitkan 16 helikopter dengan 16 penerbangan harian oleh Tentera Udara Diraja Jordan bersama kerjasama negara-negara anggota.

"Bantuan yang dihantar termasuk bekalan perubatan, makanan serta keperluan bayi terus ke kawasan terjejas di Gaza," menurut kenyataan Wisma Putra pada Isnin.

Malaysia, Greece dan Itali merupakan antara negara terawal menyokong inisiatif ini dengan lebih banyak negara dijangka turut serta dalam masa terdekat.

"Malaysia terus menyokong usaha Jordan dalam menangani krisis kemanusiaan di Gaza yang semakin meruncing sejak perang bermula pada 7 Oktober 2023.

"Situasi di wilayah itu masih belum reda meskipun gencatan senjata diumumkan pada 15 Januari lalu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Malaysia kekal menyuarakan solidariti terhadap perjuangan rakyat Palestin demi penentuan nasib sendiri dan penubuhan negara berdaulat berdasarkan sempadan sebelum 1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.

"Malaysia juga akan terus memperjuangkan kebebasan, maruah dan keadilan untuk rakyat Palestin di peringkat antarabangsa," menurut kenyataan itu lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!