Johor sasar siap 8,000 RMMJ tahun ini

Mohd Jafni berucap pada majlis majlis Penyerahan Sumbangan Back To School di Dewan Raya Putra pada Ahad.
Mohd Jafni berucap pada majlis majlis Penyerahan Sumbangan Back To School di Dewan Raya Putra pada Ahad.
A
A
A

KULAI - Kerajaan negeri Johor menyasarkan untuk menyiapkan lebih 8,000 unit Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) di kesemua 10 daerah pada tahun ini.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, setakat ini, sebanyak 13,461 unit RMMJ telah diserah kunci kepada pemiliknya dari 2022 sehingga 31 Disember tahun lalu.

“Kita jangkakan pada tahun hadapan kita akan siapkan lagi sebanyak 8,000 unit rumah di lokasi yang terpilih.

“Ini sekali gus bakal mencatatkan sejarah dalam pembinaan RMMJ kerana ia merupakan pembinaan unit terbesar yang berjaya disiapkan dalam tempoh setahun.

“Justeru, dengan pembinaan RMMJ tersebut, kita berjaya mencapai sasaran bagi pembinaan 30,000 unit RMMJ yang siap diserahkan kepada penghuni dalam tempoh lima tahun dari 2022 hingga 2026," katanya kepada pemberita.

Mohd Jafni berkata demikian pada sidang media selepas majlis Penyerahan Sumbangan Back To School di Dewan Raya Putra di sini, pada Ahad.

Pada program berkenaan, seramai 950 pelajar terpilih menerima sumbangan daripada Yayasan Sejahtera Kulai berupa wang tunai dan barang persekolahan.

Mohd Jafni bersama sebahagian pelajar yang diraikan pada majlis Penyerahan Sumbangan Back To School di Dewan Raya Putra pada Ahad.
Mohd Jafni bersama sebahagian pelajar yang diraikan pada majlis Penyerahan Sumbangan Back To School di Dewan Raya Putra pada Ahad.

Tambah Mohd Jafni, pembinaan RMMJ bakal melibatkan kesemua 10 daerah di Johor dengan hampir separuh daripadanya dibina dalam daerah Johor Bahru melibatkan kawasan Iskandar Puteri dan Pasir Gudang.

Artikel Berkaitan:

“Untuk tahun ini, kerajaan negeri telah menyiapkan sebanyak 2,000 unit RMMJ di Iskandar Puteri, Mersing, Kluang dan Simpang Renggam manakala baki 6,000 unit RMMJ lagi dijangka siap dan diserahkan kepada pemilikan pada suku keempat 2025,” katanya.

Sementara itu, Mohd Jafni berkata, kerajaan negeri sentiasa berusaha menyelesaikan masalah projek sakit yang seringkali berlaku dan menjerat pembeli di sekitar negeri ini.

Katanya, setakat ini kerajaan negeri telah menyelesaikan sebanyak lapan projek sakit yang melibatkan 3,500 unit dengan nilai hartanah RM700 juta.

"Insya-ALLAH, pada tahun ini kita akan selesaikan lagi satu projek sakit melibatkan Koperasi Nelayan Endau, Mersing yang hampir 17 tahun terbengkalai dan serahan kunci kepada pemilik dijangka dilaksanakan sebelum Hari Raya Aidilfitri depan.

"Kebanyakan isu dengan projek sakit ini apabila pihak pemaju berdepan isu kewangan dan situasi bertambah parah ketika negara dilanda pandemik Covid-19. Ada juga pemaju yang tinggalkan projek ini setelah mula mencatat kerugian," ujarnya.

Sementara itu, beliau berkata, pengenalan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) telah membantu mengurangkan jumlah hartanah yang tidak terjual di negeri ini.

Menurutnya, berdasarkan data dari tahun 2022, sebanyak 90 peratus daripada hartanah tidak terjual di Johor melibatkan pangsapuri servis berharga RM500,000 dan ke atas, manakala selebihnya terdiri daripada hartanah satu dan dua tingkat termasuk unit strata dan banglo.

Bagaimanapun katanya, antara 2022 dan 2024, Johor telah mencatatkan pertumbuhan lebih 15 peratus dalam jumlah jualan hartanah secara keseluruhan.

"Ini boleh dilihat sehingga Disember tahun lalu, hanya 11,810 pangsapuri servis yang masih belum terjual dan jumlah ini akan terus menurun berikutan pengenalan JS-SEZ pada bulan lalu," katanya.

Tambah Mohd Jafni, permintaan untuk pangsapuri servis di negeri ini juga semakin mendapat sambutan dan dijangka terus meningkat pada tahun akan datang.

Katanya, pada masa ini terdapat 27,688 pangsapuri servis dalam pembangunan dan 24,592 unit lagi menunggu kebenaran merancang di negeri ini.

"Pembangunan 52,280 pangsapuri servis ini merupakan petunjuk kukuh bahawa pertumbuhan ekonomi Johor berkembang positif.

"Bagaimanapun, kerajaan negeri beri jaminan tetap komited mengutamakan Dasar Perumahan Johor yang memerlukan pemaju hartanah membina rumah mampu milik bagi memenuhi keperluan rakyat di negeri ini," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!