50 pesakit dari Gaza masuk Mesir melalui pintu Rafah untuk rawatan

Ambulans Mesir melintasi Pintu Sempadan Rafah menuju ke Semenanjung Gaza untuk mengangkut pesakit Palestin keluar dari kawasan tersebut setelah pintu sempadan utama dibuka semula sebagai sebahagian daripada perjanjian gencatan senjata. Foto AFP

A
A
A

KAHERAH - Lima puluh pesakit dari Semenanjung Gaza memasuki Mesir pada Sabtu melalui Pintu Sempadan Rafah, satu-satunya laluan antara wilayah Palestin itu dan Mesir, lapor Xinhua yang memetik siaran TV Nile milik kerajaan Mesir.

Mereka merupakan kumpulan pertama pesakit Gaza yang memasuki Mesir melalui pintu masuk itu bagi mendapatkan rawatan perubatan sejak Mei tahun lepas.

Rakaman televisyen menunjukkan para pesakit memasuki sebelah Mesir seorang demi seorang sebelum menaiki ambulans yang sedia menunggu di sempadan.

Pesakit Palestin menunggu di dalam bas untuk berlepas ke Pintu Sempadan Rafah di Hospital Al-Shifa di Bandar Gaza. Foto Xinhua
Pesakit Palestin menunggu di dalam bas untuk berlepas ke Pintu Sempadan Rafah di Hospital Al-Shifa di Bandar Gaza. Foto Xinhua

Menurut sumber daripada Bulan Sabit Merah Mesir, 30 ambulans yang dilengkapi kelengkapan perubatan telah ditempatkan di sebelah Mesir bagi membawa pesakit ke hospital di Sheikh Zuweid, Arish dan Suez.

Sebahagian pesakit akan dihantar ke ibu negara, Kaherah, selepas keadaan mereka dinilai.

Pesakit akan ditempatkan di wad ortopedik, rawatan melecur, pembedahan am dan pediatrik di hospital-hospital yang ditetapkan untuk menerima rawatan lanjut, menurut sumber itu lagi.

Pintu Sempadan Rafah antara Mesir dan Gaza telah menjadi laluan utama bagi penghantaran bantuan kemanusiaan yang disumbangkan oleh Mesir, negara lain dan pertubuhan antarabangsa.

Pada 19 Januari, Pintu Sempadan Rafah dibuka semula dari sebelah Mesir sebagai sebahagian daripada perjanjian gencatan senjata antara Hamas dan Israel.

Artikel Berkaitan:

Sejak Mei 2024, pintu masuk di sebelah Palestin itu dikawal oleh Israel, yang sebelum ini menyekat operasi pintu masuk itu sehingga perjanjian gencatan senjata dimeterai baru-baru ini. - Bernama-Xinhua

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!