Pekerja kawalan serangga perosak maut terhidu gas beracun

Seorang pekerja maut manakala seorang lagi kritikal selepas terhidu gas beracun selepas menjalankan kerja-kerja fumigasi kawalan makhluk perosak di sebuah kilang di Prai pada Selasa. Foto hiasan
Seorang pekerja maut manakala seorang lagi kritikal selepas terhidu gas beracun selepas menjalankan kerja-kerja fumigasi kawalan makhluk perosak di sebuah kilang di Prai pada Selasa. Foto hiasan
A
A
A

BUTTERWORTH - Seorang pekerja maut manakala seorang lagi kritikal selepas terhidu gas beracun dari bahan kimia berbahaya selepas menjalankan kerja-kerja fumigasi kawalan makhluk perosak di sebuah kilang di Prai, di sini pada Selasa lalu.

Dalam kejadian jam 9 malam itu, dua orang pekerja lagi turut terkesan dan telah dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pulau Pinang dalam satu kenyataan memaklumkan sepasukan pegawai penyiasat dari segera ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan sebaik sahaja menerima laporan mengenai kes terbabit.

Menurut kenyataan itu, daripada siasatan awal mendapati mangsa merupakan pekerja dari syarikat kontraktor yang dilantik untuk menjalankan kerja-kerja fumigasi kawalan makhluk perosak bertujuan menghapuskan serangga di kilang tersebut.

"Kerja-kerja fumigasi dijalankan bermula pada 21 sehingga 28 Januari melibatkan 8 orang pekerja.

"Mangsa dilaporkan telah kembali semula ke lokasi fumigasi dijalankan pada 29 Januari bersama seorang lagi rakan mangsa untuk mengambil bacaan gas di salah sebuah bangunan di kilang tersebut.

"Kedua-dua mangsa mengalami muntah dan sesak nafas serta pengsan selepas meninggalkan premis tersebut. Mereka kemudian segera dibawa ke hospital berdekatan," katanya dalam kenyataan berkenaan pada Sabtu.

Tambah kenyataan itu, seorang mangsa telah disahkan meninggal dunia di hospital pada Jumaat manakala seorang lagi mangsa masih kritikal di ICU hospital.

Malah doktor yang merawat kedua-dua mangsa juga telah mengalami sesak nafas dan sakit tekak setelah membuat rawatan bantuan pernafasan (CPR).

Artikel Berkaitan:

"Enam orang lagi pekerja yang telah mengalami simptom awal pendedahan kepada gas beracun telah dibenarkan pulang ke rumah tetapi masih di bawah pemantauan.

"Arahan penutupan keseluruhan kawasan lokasi fumigasi di kilang tersebut telah dikeluarkan berserta notis larangan penggunaan bahan kimia berbahaya kepada kesihatan iaitu Methyl Bromide yang digunakan untuk kerja-kerja fumigasi tersebut sehingga siasatan selesai dijalankan," katanya lagi.

JKKP berkata, pihak Jabatan juga telah mengarahkan majikan untuk menjalankan siasatan dalaman bagi mengenal pasti punca kejadian dan langkah penambahbaikan serta membuat pembentangan kes kepada Jabatan.

Tambahnya, JKKP juga akan menjalankan siasatan susulan dengan mendapatkan dokumen berkaitan dan merakam percakapan dalam pemeriksaan bagi semua saksi yang telah dikenal pasti.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!