Kutip 300 cebisan mayat berselerakan

SETIAP kali siren berbunyi dan panggilan kecemasan diterima, anggota bomba akan bergerak pantas tanpa mengira masa atau keadaan.
Mereka hadir sebagai penyelamat, mempertaruhkan nyawa demi kesejahteraan orang lain.
Namun di sebalik keberanian yang ditampilkan, terselit kisah air mata, pengorbanan dan ujian emosi yang tidak terungkap.
Setiap insiden yang berlaku meninggalkan kesan mendalam bukan sahaja kepada keluarga mangsa, tetapi juga kepada anggota penyelamat yang berada di barisan hadapan.
Menyingkap kembali nahas membabitkan pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1) di Bandar Elmina yang meragut 10 nyawa pada 17 Ogos 2023, Ketua Zon 7 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Selangor, Penguasa Kanan Bomba II Shamsol Maarif Saibani merupakan individu yang terlibat dalam misi tugasan selepas tragedi berkenaan.

Shamsol yang ketika itu merupakan Penolong Ketua Zon Jabatan Bomba dan Penyelamat Shah Alam berkata, JBPM bersama pelbagai agensi lain dipertanggungjawabkan untuk mengutip lebih 300 cebisan mayat yang berselerakan di sekitar lokasi.
“Dengan usaha jitu anggota bersama semua agensi berkaitan, sebanyak 300 sampel cebisan mayat berjaya dikumpulkan.
“Cebisan-cebisan ini kemudian dihantar ke Jabatan Kimia bagi tujuan padanan DNA (asid deoksiribonukleik),” katanya kepada Sinar Harian.

Tambahnya, operasi ini antara paling mencabar yang pernah dihadapinya.
Kata Shamsol, setiap cebisan yang dikutip mengingatkannya kepada hakikat bahawa di sebalik setiap tragedi, ada keluarga yang kehilangan insan tersayang.
“Dalam dunia kebombaan, tekanan emosi adalah cabaran utama yang perlu dihadapi setiap anggota,” ujarnya.
Shamsol berkata, dalam aspek menguruskan situasi kecemasan yang melibatkan nyawa memerlukan ketahanan mental yang tinggi.

“Mengawal emosi merupakan aspek kritikal dalam setiap operasi kecemasan, apa pun yang berlaku, kita perlu bertenang dan bersabar kerana operasi mesti dikendalikan dengan keadaan yang tenang serta tidak terikut dengan emosi.
“Kita bukan hanya melihat mangsa tetapi adakalanya kita juga membayangkan jika mereka adalah ahli keluarga kita sendiri,” kongsinya.
Tegasnya, dalam pasukan bomba, setiap anggota dididik untuk mengawal emosi secara profesional melalui latihan dan kursus khusus.
Shamsol berkata, bagi anggota penyelamat yang bertugas di lokasi, tragedi itu bukan sekadar operasi biasa sebaliknya merupakan tugas yang penuh dengan cabaran, baik dari segi teknikal mahu pun emosi.
Menceritakan berkaitan tragedi berkenaan, pesawat terbabit berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi terhempas ketika menghampiri Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang.
“Antara mangsa yang terlibat terdiri daripada enam penumpang dan dua anak kapal serta seorang penunggang motosikal p-hailing dan pemandu e-hailing yang melalui kawasan itu.
“Penumpang pesawat terbabit yang turut terlibat termasuk Exco Kerajaan Negeri Pahang, Allahyarham Datuk Seri Johari Harun,” ceritanya.
Jelasnya, antara detik paling menyentuh hati adalah apabila Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mencemar duli meninjau lokasi insiden.
“Saya menyaksikan sendiri bagaimana baginda tidak dapat menahan sebak ketika bertemu dengan ahli keluarga mangsa.
“Baginda bukan hanya datang meninjau, tetapi memberi penghormatan kepada pasukan penyelamat yang bertungkus-lumus dalam operasi berkenaan,” jelasnya.
Katanya, kehadiran baginda di lokasi memberikan suntikan semangat kepada semua petugas yang terlibat.
EMOSI STABIL
Selain itu, beliau turut mengulas mengenai peranan penting Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (Akrab) serta pembimbing rakan sekerja.

“Ini sangat penting dalam membantu anggota bomba mengekalkan kestabilan emosi.
“Akrab memainkan peranan sebagai sistem sokongan dalaman dalam sektor perkhidmatan awam, termasuk pasukan bomba,” katanya yang juga merupakan Pengerusi Akrab Malaysia.
Menurutnya, jika ada anggota yang menghadapi tekanan atau masalah peribadi, mereka boleh mendapatkan bantuan daripada rakan pembimbing.

Beliau turut berkongsi kursus berkaitan kestabilan emosi sering dianjurkan sama ada melalui Akrab Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan di Akademi JBPM.
“Latihan bertujuan memastikan anggota sentiasa bersedia secara mental dan emosi dalam menghadapi cabaran kerja.
“Salah satu aspek penting dalam perkhidmatan bomba ialah semangat kerja berpasukan, rakan sekerja bukan sahaja menjadi teman dalam operasi, tetapi juga sistem sokongan dalam menghadapi tekanan kerja,” tambahnya.
Shamsol berkata, setiap anggota perlu peka terhadap kesejahteraan mental rakan-rakan mereka dan memberi bantuan apabila diperlukan.

“Dalam pasukan bomba, kami bukan sekadar rakan sekerja, tetapi seperti keluarga, jika ada anggota yang menunjukkan tanda-tanda tekanan atau keletihan emosi, kami akan cuba membantu mereka, sama ada melalui sesi perbincangan atau merujuk mereka kepada pihak yang lebih berkelayakan.
“Dengan latihan yang berterusan dan budaya saling menyokong, pasukan bomba bukan sahaja menjadi lebih kuat secara fizikal, tetapi juga lebih kukuh dari segi mental dan emosi,” ujarnya.
Shamsol berkata, fokus utama adalah memastikan kelancaran dalam penugasan yang dipertanggungjawabkan itu.
“Mana-mana anggota bomba, apabila tiba di lokasi kejadian, mereka akan dikumpulkan dan diberikan taklimat terlebih dahulu berkaitan keadaan dan situasi yang berlaku.
“Penerangan dari segi penugasan juga akan diberikan ketika itu, apa yang penting adalah ketepikan segala perasaan, jangan terlalu beremosi ketika menjalankan tugas, pastikan tugas dilaksanakan dengan sebaiknya,” katanya.
ENAM RAKAN SETUGAS TERKORBAN
Menurut beliau, antara tragedi lain yang tidak dapat dilupakannya ialah enam anggotanya terkorban ketika menjalankan operasi mencari dan menyelamat remaja lemas pada 3 Oktober 2018.

Shamsol yang ketika itu merupakan Ketua Zon Kawasan Klang berkata, beliau dimaklumkan berita duka itu melalui panggilan telefon semasa sedang berkursus di Wakaf Tapai, Terengganu.
“Bayangkan perasaan saya ketika itu, menerima berita kehilangan enam anggota serentak, ia merupakan sesuatu yang amat sukar untuk diterima,” katanya.
Jelasnya, keenam-enam anggota berkenaan berasal dari pelbagai negeri iaitu Kelantan, Pahang, Negeri Sembilan, Sabah dan Sarawak.
“Setiap kali saya terkenang peristiwa itu, hati pasti tersentuh, namun saya cekalkan hati terutamanya ketika berhadapan dengan keluarga mereka ketika itu,” ujarnya.

Tambahnya, keenam-enam anggota terbabit sentiasa berdedikasi dan komited dalam menjalankan tugas dan kehilangan mereka adalah tamparan hebat kepada seluruh pasukan bomba, khususnya di Selangor.
“Saya sempat ke Hospital Serdang untuk melihat jenazah mereka, tidak dapat saya gambarkan perasaan melihat enam rakan seperjuangan yang telah pergi buat selama-lamanya,” luahnya.
Shamsol berkata, beliau ditugaskan untuk mengiringi jenazah ke tempat asal masing-masing.
“Perjalanan itu dirasakan cukup berat,” kongsinya.
Menurutnya, tragedi berkenaan memberikan kesan besar dalam hidupnya sehingga mengakibatkan beliau perlu mendapatkan kaunseling bagi memulihkan semangat.
“Saya tidak boleh tidur selama beberapa hari selepas kejadian itu, setiap kali mengingati wajah mereka, pelbagai perasaan sentiasa bermain di ingatannya, apatah lagi bila memikirkan keluarga mereka yang ditinggalkan.
“Sebelum ini saya pernah dipanggil ke rancangan televisyen untuk berkongsi pengalaman mengenai tragedi itu, namun, setiap kali berbicara tentang peristiwa itu, saya tidak dapat menahan air mata,” ujarnya sebak.
Jelas Shamsol, kejadian itu bukan sahaja meninggalkan kesan mendalam kepada dirinya, tetapi juga kepada seluruh warga bomba di Malaysia.
“Pengorbanan enam anggota ini menjadi simbol keberanian dan komitmen terhadap tugas meskipun nyawa menjadi taruhan.
“Sebagai anggota bomba, kami memang sentiasa bersedia menghadapi risiko, namun kehilangan serentak enam nyawa adalah sesuatu yang amat sukar diterima, kami diajar untuk tabah, tetapi perasaan sedih itu tetap ada,” katanya.
Ujarnya, walaupun tragedi itu telah lama berlalu, beliau tetap mengingati wajah-wajah anggota yang terkorban.
“Setiap kali ada operasi di kawasan terbabit, memori tentang mereka pasti muncul, saya sentiasa mendoakan mereka dan keluarga yang ditinggalkan,” katanya.
Dalam kejadian pada 3 Oktober 2018 itu, seramai enam anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) maut ketika melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang remaja lelaki yang lemas di lombong Taman Putra Perdana berhampiran Perumahan La Cottage.
Dalam kejadian itu empat anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pelabuhan Klang iaitu Mohd Fatah Hashim, 34; Izatul Akma Wan Ibrahim, 32; Mazlan Omarbaki, 25, dan Yahya Ali, 24, serta dua anggota dari BBP Shah Alam iaitu Adnan Othman, 33, dan Muhammad Hifdzul Malik Shaari, 25, ditemui lemas ketika operasi berkenaan.
TUGAS INI ADALAH AMANAH
Ujar Shamsol, ramai anak muda kini semakin berminat untuk menyertai pasukan bomba kerana melihat keberanian dan keikhlasan anggota dalam menjalankan tugas.

“Bagi kami, tugas ini bukan sekadar pekerjaan. Ia adalah satu amanah dan tanggungjawab kepada masyarakat.
“Walaupun tugas sebagai anggota bomba penuh dengan risiko, namun ia perlu dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab dan amanah, perkara ini mendorong ramai anak muda meminati kerjaya ini,” katanya.

Menurut beliau, setiap pengorbanan yang dilakukan bukanlah untuk dikenang, tetapi untuk memastikan masyarakat sentiasa selamat.
“Biarlah kami dikenang sebagai wira tanpa nama, wira yang tidak pernah meminta penghargaan akan tetapi kami akan terus berjuang demi kesejahteraan negara.“Walaupun dalam apa sahaja cabaran, semangat kami perlu tetap teguh, kerana kami warga bomba yang tidak pernah gentar menghadapi bahaya,” tambahnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

