Kerajaan lulus RM60 juta untuk naik taraf LTSAS

IPOH - Kerajaan bersetuju meluluskan peruntukan sebanyak RM60 juta bagi kerja-kerja menaik taraf landasan Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) di sini.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, peruntukan tersebut diluluskan bagi tujuan melebarkan lagi landasan sedia ada bagi mengoptimumkan penggunaan lapangan terbang berkenaan.
Menurutnya, projek tersebut melibatkan dua fasa iaitu fasa pertama yang sedang berjalan ketika ini memperuntukkan RM8 juta manakala RM52 juta lagi akan diteruskan bagi fasa kedua.
"Pelebaran lapangan tebang ini merupakan berita terbaik, hadiah istimewa Tahun Baru Cina oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri kepada rakyat negeri Perak. Ia ibarat impian jadi kenyataan setelah bertahun-tahun kita menantikan projek ini direalisasikan.
"Saya yakin dengan projek naik taraf lapangan terbang ini, akan mengangkat lagi kedudukan Perak sebagai salah satu negeri strategik," katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian ketika hadir ke Majlis Perayaan Tahun Baharu Cina 2025 Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Perak (PCCCI) di sebuah hotel di sini, pada Jumaat.

Hadir sama pada majlis itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Presiden PCCCI, Datuk Liew Chee Ming.
Sementara itu Kor Ming berkata, apabila siap kelak, LTSAS akan menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi negeri ini.
Jelasnya, produk-produk dari Perak boleh dieksport terus dari LTSAS ke negara-negara lain tanpa melalui Lapangan Antarabangsa Pulau Pinang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.
Beliau berkata, destinasi penerbangan juga boleh ditambah ke negara lain seperti Bangkok, Thailand dan Jepun selain penerbangan sedia ada dari Ipoh ke Singapura.
Dalam perkembangan lain, Kor Ming turut mengumumkan bahawa nilai jangkaan transaksi hartanah untuk tahun lalu telah mencapai RM217.46 bilion.
Menurutnya, angka itu menunjukkan peningkatan yang signifikan berbanding dengan tahun-tahun sebelumnya dan jauh melebihi sasaran awal yang ditetapkan pada permulaan tahun iaitu RM100 bilion.
"Berbanding dengan tahun-tahun sebelum ini, tahun 2022 mencatatkan jumlah RM179.07 bilion dan tahun 2023 mencatatkan jumlah RM196.83 bilion. Kenaikan yang mendadak ini mencerminkan kekuatan sektor hartanah dengan pelbagai faktor yang menyumbang kepada prestasi yang kukuh ini.
"Kita menyaksikan peningkatan prestasi jumlah transaksi hartanah telah meningkat 21.4 peratus. Dengan kata lain, sektor hartanah diisytiharkan telah pulih sepenuhnya," katanya.
Menurut Ahli Parlimen Teluk Intan itu, nilai jangkaan transaksi berkenaan juga menunjukkan peningkatan keyakinan dalam kalangan pelabur tempatan dan asing terhadap pasaran hartanah Malaysia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

