Kenangan ketupat, rendang jadi juadah Tahun Baharu Cina

Mohd Hanif (kanan) bersama saudara-maranya yang berketurunan Cina.
Mohd Hanif (kanan) bersama saudara-maranya yang berketurunan Cina.
A
A
A

MELAKA - Meskipun berbeza agama, namun ia bukan penghalang bagi sebuah keluarga di Kurbong Jaya di sini menziarahi sanak saudara berketurunan Cina setiap kali perayaan.

Mohd Hanif Johari, 42, berkata, setiap tahun dia akan beraya ke rumah ibu dan bapa saudaranya di Taman Merdeka Jaya serta Bukit Rambai selepas neneknya yang menetap di Pulau Gadong di sini, meninggal dunia lebih 10 tahun lalu.

Menurutnya, ketika neneknya masih ada, setiap kali Tahun Baharu Cina, mereka akan berkumpul beramai-ramai dan keluarganya yang beragama Islam akan membawa juadah seperti ketupat serta rendang sebagai santapan kepada ahli keluarga yang bukan beragama Islam.

“Namun bila zaman berubah, nenek pun dah tiada, kami sekeluarga termasuk ibu saya yang berketurunan Cina akan datang beraya di rumah sanak saudara.

"Seronok sebenarnya dan paling penting kita saling menghormati,” katanya kepada Sinar Harian.

Mohd Hanif yang bekerja sebagai mekanik di Malim Jaya berkata, sejak kecil ibunya, Norsham Abdullah, 68, telah diserahkan untuk dijaga oleh keluarga Melayu.

Namun, ibunya tidak pernah memutuskan hubungan dengan adik-beradik kandungnya yang seramai 12 orang.

“Tak semua orang dapat menikmati kehidupan keluarga campur seperti ini. Saya harap keakraban itu akan berkekalan,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Mohd Hanif turut menasihati anak-anaknya untuk meneruskan tradisi ziarah seperti ini agar hubungan kekeluargaan yang berlainan agama ini terus terjalin dan dihormati.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!