Bukan PTD cadang laksana WBB - Cuepacs

SHAH ALAM- Cadangan pelaksanaan projek rintis Waktu Bekerja Berlainan (WBB) bukan berasal daripada Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) seperti yang disalahertikan oleh sesetengah pihak.
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Dr Adnan Mat sebaliknya mendakwa, ia adalah cadangan daripada Medical Advisory and Action Committee (MAAC).
Justeru katanya, tidak wajar mana-mana pihak menyalahkan kumpulan pegawai tersebut tanpa asas yang kukuh.
Ini kerana jelasnya, PTD sentiasa memainkan peranan penting dalam membantu kerajaan melaksanakan dasar dengan profesional dan berintegriti demi kepentingan negara.
“Cuepacs turut menyokong langkah KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) untuk menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi mengkaji penjadualan waktu kerja dan pemerkasaan penyampaian perkhidmatan kesihatan seperti yang diumumkan oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
“Kami berharap jawatankuasa ini akan mengambil kira pandangan semua pihak yang berkepentingan, termasuk wakil kesatuan sekerja dan pekerja yang terlibat secara langsung dalam perkhidmatan kesihatan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Sebelum ini, Persatuan Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PPTD) membidas dakwaan bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin bahawa pegawai bidang berkenaan hanya 'sekumpulan individu yang melihat jam pada helaian Excel' tanpa memahami realiti sebenar yang berlaku dalam sektor kesihatan.
Presidennya, Datuk Awang Alik Jeman berkata, tuduhan tersebut yang dikaitkan dengan sistem WBB tidak berasas sama sekali, malah tidak menggambarkan proses sebenar penggubalan dasar kerajaan.
Tambah Adnan, Cuepacs mengambil maklum dan menyambut baik keputusan Jemaah Menteri untuk membatalkan projek rintis WBB yang sebelum ini dicadangkan kepada KKM.
Jelasnya, keputusan itu membuktikan bahawa kerajaan prihatin terhadap kebajikan petugas kesihatan dan memahami keperluan untuk melakukan kajian yang lebih menyeluruh sebelum melaksanakan sebarang perubahan besar dalam sistem waktu bekerja.
“Cuepacs menegaskan bahawa sebarang perubahan dalam sistem waktu bekerja mestilah dilaksanakan secara holistik dengan mengambil kira keseimbangan antara keperluan perkhidmatan, kebajikan pekerja dan keberkesanan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
“Keputusan Jemaah Menteri untuk meneliti semula cadangan WBB ini adalah langkah yang tepat bagi memastikan sebarang perubahan yang dibuat adalah berlandaskan kajian yang menyeluruh dan mengambil kira kepentingan dan kebajikan semua pihak,” ujar beliau.
Cuepacs juga katanya, dengan tegas menyeru semua pihak agar tidak lagi membuat spekulasi atau menyalahkan mana-mana pihak secara tidak adil.
Sebaliknya, semua tenaga harus difokuskan kepada usaha mencari penyelesaian terbaik demi kepentingan perkhidmatan awam dan kesejahteraan rakyat secara keseluruhannya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

