Pendekatan diplomasi elak isu ketegangan maritim Malaysia-Indonesia

Kerajaan perlu mengambil pendekatan yang bukan sahaja dapat mengurangkan ketegangan maritim malah memastikan hubungan baik antara Malaysia dan Indonesia terus terpelihara.
Kerajaan perlu mengambil pendekatan yang bukan sahaja dapat mengurangkan ketegangan maritim malah memastikan hubungan baik antara Malaysia dan Indonesia terus terpelihara.
A
A
A

KERAJAAN perlu mengambil pendekatan yang bukan sahaja dapat mengurangkan ketegangan maritim malah memastikan hubungan baik antara Malaysia dan Indonesia terus terpelihara.

Diplomasi, penguatkuasaan yang beretika dan pembangunan ekonomi nelayan adalah kunci kepada penyelesaian jangka panjang rentetan peristiwa tembakan membabitkan pegawai Maritim Malaysia dengan lima rakyat Indonesia.

Terdahulu, kedutaan Indonesia dilaporkan akan menghantar nota diplomatik kepada Malaysia berhubung insiden dua warganegaranya ditembak mati selepas didakwa menyerang anggota penguat kuasa maritim dengan parang di perairan Tanjung Rhu, Banting pada minggu lalu.

Kementerian Luar Negeri Indonesia mengesahkan warganegara Indonesia itu disyaki cuba meninggalkan Malaysia melalui laluan haram, bagaimanapun menggesa tindakan diambil sekiranya anggota penguat kuasa terbukti menggunakan kekerasan berlebihan dalam kejadian tembakan itu.

Peristiwa berdarah itu telah menimbulkan banyak reaksi daripada pelbagai pihak yang menuntut siasatan telus serta tindakan wajar diambil terhadap insiden tersebut.

Justeru, bagi membendung isu ketegangan maritim antara Malaysia dan Indonesia, kerajaan mesti mengambil langkah bersifat diplomasi dan penguatkuasaan yang lebih efektif.

Antaranya, Malaysia dan Indonesia perlu mempercepat perbincangan mengenai sempadan maritim terutama di kawasan yang masih menjadi pertikaian seperti di Laut Sulawesi dan Selat Melaka.

Selain itu, kerajaan juga boleh mengadakan lebih banyak perjanjian dua hala bagi mengelakkan salah faham serta memastikan semua tindakan penguatkuasaan mematuhi peraturan Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCLOS 1982).

Seorang pakar daripada universiti tempatan turut mencadangkan kerajaan untuk menubuhkan jawatankuasa bersama bagi menyelesaikan pertikaian nelayan tanpa perlu bergantung kepada tindakan penguatkuasaan yang agresif.

Artikel Berkaitan:

Seterusnya, kerajaan boleh memanfaatkan sistem pengawasan satelit dan radar maritim untuk memantau pergerakan bot nelayan secara lebih efektif.

Dari segi membangunkan ekonomi nelayan tempatan, Malaysia boleh memberikan bantuan teknologi dan subsidi bahan bakar supaya mereka tidak perlu menangkap ikan di perairan negara jiran.

Akhir sekali, kerajaan boleh mewujudkan saluran komunikasi langsung antara kerajaan Malaysia dan Indonesia bagi menangani sebarang insiden dengan cepat sebelum menjadi isu diplomatik yang lebih besar.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!