Rambang mata untung 150 kali ganda, ejen pelaburan rugi RM347,000

Lelaki berusia 42 tahun jadi mangsa skim pelaburan tidak wujud pada Mac 2024. Foto hiasan
Lelaki berusia 42 tahun jadi mangsa skim pelaburan tidak wujud pada Mac 2024. Foto hiasan
A
A
A

DUNGUN - Seorang ejen pelaburan mengalami kerugian sebanyak RM347,000 selepas menjadi mangsa skim pelaburan tidak wujud pada Mac 2024.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Maizura Abdul Kadir berkata, lelaki berusia 42 tahun itu telah tertarik untuk menyertai satu skim pelaburan di bawah satu syarikat pelaburan dan kemudian telah dihubungi oleh seorang individu dari syarikat berkenaan secara dalam talian dan bersemuka.

"Mangsa yang tertarik dengan tawaran dijanjikan telah diberikan akad pelaburan sebagai tanda mengikat persetujuan iaitu kontrak secara hitam dan putih.

"Menerusi akad pelaburan itu, mangsa dijanjikan keuntungan sebanyak 150 kali ganda iaitu empat atau lima hari seminggu dan dibayar keuntungan setiap hari bergantung hari yang didagangkan.

"Susulan itu, mangsa telah membuat 19 kali transaksi berjumlah RM347,000 ke tiga akaun bank berbeza," katanya dalam kenyataan di sini pada Rabu.

Mengulas lanjut, Maizura menyatakan mangsa sedar bahawa dirinya ditipu apabila pelaburan tersebut hanya berjalan selama 40 kali bayaran keuntungan sahaja.

Justeru, beliau berkata, mangsa telah berjumpa dengan suspek untuk mengetahui permasalahan yang berlaku dan individu terbabit berjanji akan menyambung semula pelaburan berkenaan pada September 2024.

"Selepas perjumpaan tersebut suspek tidak dapat lagi dihubungi dan sehingga kini mangsa tidak menerima sebarang keuntungan seperti yang dijanjikan.

"Mangsa yang berasa tertipu telah membuat laporan polis pada Selasa lalu dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!