'Ulat buku' rambang mata pilih novel, buku resipi masakan

SHAH ALAM - Pengunjung tidak melepaskan peluang hadir ke Jualan Gudang Karangkraf 2025 ketika cuti umum Tahun Baharu Cina bagi mendapatkan novel pelbagai genre, al-Quran, buku motivasi serta resipi masakan.
Suri rumah, Sharmila Abu Tahir, 48, berkata, dia rambang mata setiap kali datang ke Jualan Gudang Karangkraf yang menyediakan pelbagai jenis buku dan naskah al-Quran pada harga berpatutan.
Menurutnya, budaya membaca sudah sebati dengan dirinya sejak kecil dan antara genre pilihan adalah karya berbentuk penyiasatan, motivasi hidup serta petua memasak.
"Saya habiskan masa sekitar tiga jam menelaah setiap buku dan Alhamdulillah dapat banyak juga, jumlah dibelanjakan sekitar RM307. Kebanyakannya lebih kepada genre masakan, pendidikan, motivasi kehidupan serta sirah Nabi Muhammad SAW.
"Selain membeli di pesta buku, saya dan keluarga selalu ke perpustakaan. Jadi, sekarang budaya membaca ini saya pupuk kepada anak-anak pula agar mereka ada rasa cinta terhadap buku.
"Pada pandangan saya, maklumat daripada buku ada ‘feel’ tersendiri kerana zaman sekarang masyarakat kurang membaca dan lebih kepada bermain media sosial. Apa yang kita baca itulah diri kita," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Jualan gudang menjadi pembuka tirai program anjuran Karangkraf tahun ini dan kembali menemui penggemar buku dari 24 Januari hingga 2 Februari depan bermula jam 9 pagi hingga 7 malam.
Bertempat di Kompleks Kumpulan Karangkraf, pengunjung bukan sahaja berpeluang memperoleh tawaran diskaun sehingga 80 peratus, malah pelbagai aktiviti menarik turut disajikan sepanjang program berlangsung.
Pembeli juga boleh melayari laman sesawang rasmi di www.karangkrafmall.com dan tempoh diskaun sama ditawarkan sepertimana di Jualan Gudang Karangkraf iaitu sehingga 2 Februari depan.

Sementara itu, pelajar sekolah, Nurfarisya Insyirah Ab Razak, 16, memaklumkan, dia amat meminati novel genre seram dan sehingga kini sudah mengumpul hampir 50 buku untuk dijadikan koleksi di rumah.
Tambahnya, ia juga kali pertama dirinya hadir ke Jualan Gudang Karangkraf sekali gus teruja dengan novel-novel yang disajikan.
"Saya sukakan novel cinta juga selain seram, mak pula cari buku resipi masakan. Kira-kira 10 novel juga saya pilih, ada yang cetakan lama dan keluaran baharu," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!