Peniaga sayur rugi lebih RM200,000 diperdaya skim pelaburan tidak wujud

Seorang peniaga sayur kerugian RM214,700 akibat diperdaya sindiket skim pelaburan tidak wujud di laman sosial Facebook. Gambar hiasan
Seorang peniaga sayur kerugian RM214,700 akibat diperdaya sindiket skim pelaburan tidak wujud di laman sosial Facebook. Gambar hiasan
A
A
A

KUALA TERENGGANU - [DIKEMAS KINI] Seorang peniaga sayur berputih mata apabila wang simpanan dan hasil gadaian barangan kemas bernilai RM214,700 lesap selepas ditipu skim pelaburan tidak wujud.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, mangsa berusia 54 tahun itu mengalami kerugian selepas terpedaya dengan iklan pelaburan menerusi media sosial Facebook pada 11 Disember 2023.

Menurutnya, mangsa yang melihat iklan itu telah menekan pautan disediakan untuk berhubung dengan ejen syarikat tersebut melalui aplikasi WhatsApp sebelum diperkenalkan kepada seorang lagi individu.

"Individu tersebut memberitahu dengan hanya bermodalkan RM500, peniaga itu akan mendapat keuntungan sebanyak RM30,000 dalam tempoh tiga hingga enam jam.

"Wanita tersebut juga diminta untuk membuat bayaran sekiranya berminat dengan pelaburan ditawarkan," katanya di sini pada Khamis.

Azli berkata, mangsa yang percaya dengan keuntungan segera dijanjikan telah membuat pembayaran bagi pelaburan pertama berjumlah RM500.

Jelas beliau, selang beberapa jam mangsa telah dihubungi individu tersebut dan memberitahu telah menerima keuntungan sepertimana dijanjikan, namun perlu membuat pembayaran lagi untuk mendapatkan keuntungan itu.

"Mangsa yang terpedaya telah membuat 42 transaksi pembayaran ke 16 akaun bank yang berbeza dengan jumlah keseluruhan RM214,700.

"Kesemua transaksi pemindahan wang ke akaun milik suspek itu dilakukan bermula pertengahan Disember 2023 hingga 21 Januari lalu.

Artikel Berkaitan:

"Bagaimanapun, selepas membuat pembayaran menggunakan wang simpanan dan hasil gadaian barang kemas miliknya, mangsa masih tidak menerima sebarang keuntungan malah diminta membayar lagi," ujarnya.

Beliau berkata, mangsa cuba untuk menghubungi individu tersebut bagi membatalkan urusan dan ingin mendapatkan semula wangnya, namun tiada sebarang jawapan.

"Mangsa yang berasa ditipu telah tampil membuat laporan di balai polis pada Rabu dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!