Samun dan tetak dua mangsa, polis tahan 6 individu

SUBANG JAYA - Kurang daripada 24 jam, pihak polis berjaya menahan enam individu warga tempatan dipercayai terlibat dalam rompakan bersenjata di sebuah rumah di Jalan Bunga Melur, Batu 14, Puchong, dekat sini pada Ahad.
Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Superintenden Mohd Fairus Jaafar berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pecah rumah tersebut jam 12.13 pagi menerusi panggilan MERS 999.
Beliau berkata, dianggarkan seramai 11 orang lelaki memakai topeng dengan membawa beberapa bilah parang telah bertindak masuk ke rumah mangsa.
Kata beliau, kumpulan penjenayah yang menaiki tiga buah kereta membuka pagar serta pintu rumah yang tidak berkunci dan kemudiannya terus berlari masuk ke dalam kediaman tersebut.
"Suspek menyerbu dua mangsa lelaki yang berusia 31 dan 38 tahun berada di ruang tamu rumah dan menetak berkali-kali menggunakan parang," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Menurutnya, kesemua suspek kemudiannya melarikan diri menaiki tiga buah kereta.
Mohd Fairus berkata, kedua-dua mangsa mengalami cedera ditetak pada bahu dan cedera parah akibat ditetak pada badan, kaki, tangan serta beberapa bahagian badan yang lain.
Kata beliau, hasil siasatan mendapati suspek yang bertopeng muka dan bersenjatakan pisau panjang lebih kurang enam inci telah masuk ke dalam rumah melalui pintu hadapan yang tidak berkunci.
Jelasnya, kedua-dua mangsa sedang mendapatkan rawatan di Hospital Serdang dan berada dalam keadaan stabil.
Sehubungan kejadian itu, beliau berkata, pihaknya melakukan gerakan memburu suspek dan berjaya menahan enam lelaki berusia 23 hingga 28 tahun, jam 8 malam pada hari sama bagi membantu siasatan.
Menurutnya, polis turut merampas sebilah parang disyaki digunakan suspek dalam kejadian itu.
"Tiada barang mangsa yang hilang. Punca dan motif kejadian masih dalam siasatan," ujarnya.
Tambahnya, kesemua suspek yang ditangkap mempunyai rekod jenayah dan rekod narkotik lampau.
Beliau berkata, suspek ditahan reman selama tiga hari sehingga Rabu bagi siasatan lanjut.
Jelasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 394/326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan semasa melakukan rompakan dan dengan sengaja mendatangkan kecederaan dengan menggunakan senjata.
Tambahnya, suspek yang ditahan dipercayai terlibat dalam kes yang disiasat dan siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenalpasti suspek lain yang terlibat serta motif kejadian.
"Pihak polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat untuk tampil menyalurkan maklumat dengan menghubungi pusat kawalan Daerah Subang Jaya di talian 03-78627222.
"Orang ramai juga boleh berhubung terus dengan pegawai penyiasat, ASP Khairulazizi Ismail di talian 019-2817820," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
