Prabowo yakin isu sempadan, tenaga kerja diselesaikan secara tertib

Anwar (kanan) ketika sidang media bersama Presiden Indonesia Prabowo Subianto di Menara Berkembar Petronas pada Isnin.
Anwar (kanan) ketika sidang media bersama Presiden Indonesia Prabowo Subianto di Menara Berkembar Petronas pada Isnin.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Presiden Indonesia Prabowo Subianto hari ini menyatakan keyakinannya terhadap Malaysia dalam menyelesaikan pelbagai isu sempadan dan tenaga kerja dengan Indonesia secara tertib.

Beliau berkata, isu tenaga kerja dan sempadan yang sekian lama dibahas antara kedua-dua negara berjiran itu boleh diselesaikan, sekiranya pemimpin mempunyai iltizam politik untuk bekerjasama.

"Hal-hal lain kita boleh selesaikan, masalah teknikal boleh diselesaikan. Apa yang penting ialah kita mempunyai iltizam politik dan strategik.

"Kita boleh selesaikan masalah sempadan, kita akan selesaikan masalah dua hala dan tenaga kerja jika sepakat untuk tertibkan,” katanya pada sidang media bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini, pada Isnin.

Sidang media bersama tersebut diadakan di Menara Berkembar PETRONAS selepas Prabowo dan Anwar mengadakan pertemuan empat mata dan mesyuarat dua hala.

Prabowo berkata, perkara tersebut turut disepakati bersama Anwar dalam pertemuan sebentar tadi.

Beliau berkata, kerjasama antara Malaysia dan Indonesia adalah amat penting tatkala geopolitik dunia kini penuh dengan ketegangan dan ketidakpastian.

"Kerana itu pada pandangan saya, Malaysia dan Indonsia kita juga perlu tumpulan sinergi bersama rakan-rakan ASEAN kita. Hanya dengan kerjasama yang baik antara kita, suara kita akan lebih didengari,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:


________________________________________________________

Sinergi Malaysia-Indonesia perkukuh suara ASEAN di peringkat global - Prabowo

KUALA LUMPUR - Sinergi antara Malaysia, Indonesia dan rakan-rakan ASEAN amat penting untuk memastikan suara rantau ini lebih didengari di peringkat global, khususnya dalam menghadapi cabaran geopolitik dunia yang penuh ketegangan, kata Presiden Indonesia, Prabowo Subianto.

Beliau menegaskan hubungan erat antara Malaysia dan Indonesia, sebagai negara serumpun yang berkongsi sejarah, budaya, etnik dan agama, harus dijadikan asas kepada kerjasama strategik yang lebih kukuh, seterusnya memperkukuh perpaduan ASEAN.

Anwar (tiga, kanan) bertukar pandangan mengenai kerjasama dua hala bersama Presiden Indonesia Prabowo Subianto (empat, kiri) di Menara Berkembar Petronas hari ini bersempena lawatan negara Prabowo ke Malaysia. Foto Bernama
Anwar (tiga, kanan) bertukar pandangan mengenai kerjasama dua hala bersama Presiden Indonesia Prabowo Subianto (empat, kiri) di Menara Berkembar Petronas hari ini bersempena lawatan negara Prabowo ke Malaysia. Foto Bernama

"Dari segi geopolitik kita sedar bahawa dunia sekarang penuh dengan ketegangan, ketidakpastian. Kerana itu pandangan Malaysia dan Indonesia, perlu kita konsultasi terus, perlu kita sinergikan terus bersama kawan-kawan ASEAN yang lain.

"Hanya dengan kesatuan di antara negara ASEAN, hanya dengan kerjasama yang baik di antara kita, suara kita lebih didengar, kita lebih diperhitungkan oleh kekuatan yang jauh lebih besar daripada kita,” katanya.

Dalam sidang media bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Menara Berkembar Petronas di sini sempena lawatan negara ke Malaysia pada Isnin, Prabowo menekankan bahawa ASEAN, dengan lebih 600 juta penduduk, memiliki potensi besar yang setanding dengan Kesatuan Eropah (EU).

"Seluruh dunia mengakui Asia Tenggara sebagai rantau pertumbuhan dan sekarang Asia Tenggara selama beberapa dekad merupakan rantau keamanan.

"Kita tidak ada konflik di antara negara ASEAN. Untuk itu, saya dengan PM Anwar dengan pertemuan sangat intensif, membahas banyak masalah dan kerjasama, intinya adalah keputusan politik, keazaman politik bahawa Malaysia dan Indonesia harus bekerjasama dengan erat,” katanya.

Mengulas mengenai Palestin, Prabowo berkata Malaysia dan Indonesia berkongsi pendirian yang sama dalam menyokong penyelesaian dua negara.

"Masalah Palestin, kita berada dalam satu garis. Kita tetap mendukung kemerdekaan Palestin dan kita sangat tegas bahawa satu-satunya penyelesaian adalah penyelesaian dua negara.

"Itu yang selalu kita sampaikan. Kita menerima dengan baik gencatan senjata sekarang dan tentunya kita berharap gencatan senjata ini akan bertahan,” katanya.

Dalam pada itu, Prabowo memberikan komitmen Indonesia menyokong kepimpinan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025.

"Kami mendukung Malaysia sebagai ketua ASEAN tahun ini,” katanya.

Malaysia secara rasmi memegang jawatan Pengerusi ASEAN 2025 bermula 1 Januari dengan mengetengahkan tema "Keterangkuman dan Kemampanan”. Sebelum ini, Malaysia pernah memegang jawatan Pengerusi ASEAN pada 1977, 1997, 2005 dan 2015.

ASEAN kini dianggotai 10 negara Asia Tenggara iaitu Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.

Dari Januari hingga November 2024, jumlah perdagangan dua hala antara Malaysia dan Indonesia mencatat RM106.06 bilion (AS$23.2 bilion), meningkat daripada RM101.99 bilion (AS$22.41 bilion) yang direkodkan dalam tempoh sama pada 2023.

Pada 2023, Indonesia merupakan rakan dagang kelapan terbesar Malaysia pada peringkat global dan ketiga terbesar dalam ASEAN, dengan jumlah perdagangan sebanyak RM111.21 bilion (AS$24.39 bilion). - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!